ARTIKEL SEBELUM

4/06/10

Perbicaraan kes liwat Anwar ditangguh 14 Julai


KUALA LUMPUR 4 Jun - Perbicaraan Kes Fitnah 2 terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangguhkan ke 14 Julai 2010 bagi membolehkan pasukan peguambela untuk mendapatkan bahan bukti sebagai persediaan bagi sesi soalanbalas terhadap saksi pendakwaan.

Perbicaraan hari ini disambung pada jam 9 pagi dengan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memanggil kedua-dua pihak pendakwaan dan peguam bela ke dalam kamar selepas permohonan berbuat demikian dibenarkan.

Mereka kembali ke bilik perbicaraan kira-kira 15 minit kemudian.

Perbicaraan bermula dengan saksi kedua pendakwaan, pakar bedah am dari Hospital Kuala Lumpur, Dr Razali Ibrahim dipanggil semula dan disoal oleh Peguamcara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin.

Soalan berkisar mengenai prosedur pemeriksaan yang dijalankan ke atas pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan yang menggunakan perkakas yang telah disteril.

Dr Razali memberitahu terdapat lembapan pada dubur Saiful yang dipercayai sejenis material yang berbentuk cecair.

Ketua peguambela, Karpal Singh kemudiannya memohon kepada pihak mahkamah dengan mengemukakan notis usul yang disokong oleh afidavit bagi membolehkan pihaknya mempunyai akses kepada bahan bukti seperti laporan, bahan dan spesimen.

"Kita perlu mendapatkan beberapa bahan bukti. Permohonan ini adalah amalan biasa dalam perjalanan kes. Sebab itu kita telah minta lebih awal berkenaan bahan bukti tersebut" kata Karpal.

Peguam Sankara Nair ketika ditemui Suara Keadilan di luar mahkamah menjelaskan bahawa barisan peguambela sepatutnya melakukan soalbalas terhadap Dr Razali hari ini.

"Malangnya kita tidak mempunyai dokumen berkaitan untuk memulakan prosiding. Oleh itu, kita membuat permohonan kepada mahkamah untuk membenarkan kita mendapatkan material.

"Antara bahan tersebut ialah nota-nota berkaitan laporan pemeriksaan dan sejarah kesihatan ke atas Saiful oleh doktor tersebut,' kata Sankara.

Mahkamah memutuskan kepada kedua-dua belah pihak untuk membuat hujahan bertulis secara mendalam.

Pendengaran penghujahan tersebut akan diadakan pada hari Jumaat, 18 Jun 2010, pukul 8.30 pagi.

Tarikh sambungan perbicaraan pula ditetapkan pada 14 hingga 23 Julai 2010.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud