Panel hakim Mahkamah Rayuan mengisytiharkan tindakan mengheret Speaker Perak yang digulingkan, V Sivakumar, dari kerusi dan dikurung selama dua jam ketika tragedi rampasan kuasa 7 Mei lalu adalah sebahagian dari prosiding Majlis Dewan Undangan Negeri.
Lantas, undang-undang Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk mengadili keganasan itu, begitu keputusan Mahkamah Rayuan sebelum mengugurkan rayuan V Sivakumar hari ini.
Hakim Abdul Malik Ishak, Hakim KN Segara dan Hakim Abdul Wahab Patail hari mengambil keputusan sepakat menguatkuasakan Artikel 72(1) Perlembagaan Persekutuan dalam menolak rayuan saman Sivakumar terhadap Speaker lantikan BN, R Ganesan.
Keputusan ini disepakati sebelum kedua-dua pasukan peguam selesai membuat penghujahan masing-masing.
Panel tiga hakim berkenaan turut mengenakan RM20,000 terhadap Sivakumar sebagai kos perbicaraan.
Pada 8 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh menolak saman Sivakumar menuntut pampasan dan ganti-rugi dari Ganesan kerana mengarahkan serangan dan penahanan tidak sah terhadap dirinya.
Hakim Mahkamah Tinggi Azahar Mohamed memutuskan bahawa badan kehakiman tidak boleh mempersoalkan kesahihan mana-mana prosiding Dewan Undangan Negeri seperti yang ditekankan Artikel 72(1) Perlembagaan Persekutuan.
Azahar dalam mengugurkan saman tersebut berkata hal-ehwal perlantikan dan perlucutan Speaker harus dikaji, dibahas dan diselesaikan dalam dewan legislatif dan bukan di mahkamah.