Sebaliknya SPR berkata, dakwaan ke atas Najib itu, yang janji-janji pilihan raya kecil dibuat atas kapasiti sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, perlu dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan.
Selain itu SPR berpendapat, di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya, yang secara umum menjurus kepada kesalahan dilakukan oleh calon atau ejen mereka, pihak-pihak lain yang membuat janji pilihan raya termasuk anggota Kabinet tidak boleh didakwa telah melakukan kesalahan menyogok atau melakukan rasuah pilihan raya.
“Kalau ada pihak hendak mengemukakan aduan kepada kami boleh, kami akan terima dan akan memanjangkan kepada pihak berkaitan iaitu dalam kes ini SPRM,” Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.
“Kami tidak boleh melakukan siasatan sebagaimana perkara-perkara lain diperuntukkan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya... kami tiada kuasa (menyiasat).
“Ada perkara yang polis boleh siasat dan ada perkara yang kami boleh siasat.
“Tetapi perkara ini perlu disiasat oleh SPRM... terserah kepada SPRM menentukan tindakan susulan,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Oleh itu kata Wan Ahmad, terserah kepada SPRM untuk menyiasat perkara yang didakwa oleh Pengerusi DAP Karpal Singh Isnin lalu berhubung janji yang Najib pada kempen malam terakhir di Sibu Sabtu lalu.
“Itu pandangan Karpal, tetapi isu ini memang tertakluk kepada bidang tugas SPRM... perkara ini memang di bawah bidang kuasa SPRM, SPRM yang boleh menjalankan siasatan dan mengambil tindakan berkaitan,” katanya.
Sehari selepas keputusan pilihan raya kecil Sibu, peguam terkemuka itu mendakwa mendakwa Najib telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya dengan menawarkan ganjaran bagi mendapatkan undi.- mi