Bagaimanapun Ketua Umum Pakatan Rakyat itu setakat menyebut yang Umno terlibat dalam urusan mengadakan perundingan dengan mereka yang keluar PKR sejak kebelakangan ini.
Sehubungan itu, Anwar sekali lagi meminta wakil-wakil rakyat yang terbabit agar membuat penafian berhubung kenyataan beliau itu yang dibuat sejak kelmarin.
“Saya mahu ahli-ahli parlimen ini (yang keluar PKR) menafikan... biar dia buat kenyataan... nak tengok, ini adalah politik Umno,” kata beliau ketika berucap pada ceramah Perdana di Padang Perdana di sini malam tadi.
Anwar yang juga Penasihat PKR berkata beliau serius dengan kenyataan yang dibuatnya kali ini kerana mempunyai bukti yang kukuh.
“Kalau saya kata ada, bermakna ada... tetapi (bukti itu) tiada di rumah saya, tiada di pejabat saya, tiada dalam beg saya... tetapi ada,” kata beliau di hadapan hadirin yang membanjiri Padang Perdana.
Turut berucap pada ceramah itu ialah Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Pada sidang media selepas perasmiam Kongres Nasional Keenam PKR di sini semalam, Anwar berkata pihaknya belum lagi membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung bukti kukuh diperoleh yang menunjukkan wakil-wakil rakyatnya yang lompat parti ditawarkan RM2 juta dan kontrak lumayan.
“Setakat ini tidak ada. Banyak fail belum disiasat (SPRM). Belum ada laporan dibuat,” kata beliau.
Anwar mendedahkan perkara itu menerusi satu kenyataan kelmarin dan kemudian pada ceramah di Tanah Merah pada hari yang sama.
Perkara itu turut ditekankan oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Wan Azizah berkata, beberapa pemimpin pakatan pembangkang termasuk PKR yang melompat parti dibayar RM2 juta dan dijanjikan kontrak.
Selain itu, mereka turut diberikan kontrak, dakwanya tanpa menyebut pihak yang bertanggungjawab membuat bayaran itu.
Bagaimanapun, kata beliau, isu pemimpin PKR lompat parti menjadi pengajaran dan mampu menyelamatkan parti daripafa anasir negatif.
Dalam ceramahnya malam tadi, Anwar berkata pihaknya akan mewajibkan bakal-bakal calonnya mengikuti kursus program tarbiyah atau latihan bagi mengelakkan budaya melompat parti berulang lagi.
“Kalau perlu kita akan minta mereka angkat ikrar setia kepada parti,” katanya.MI