ARTIKEL SEBELUM

15/05/10

Nik Aziz: Wakil rakyat lompat parti ibarat ‘tidak akil baligh’

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan wakil rakyat yang lompat atau keluar parti sebagai “tidak akil baligh” atau matang dalam politik.

“Akil baligh ini bukan saja semestinya dari segi umur seseorang tapi dalam politikpun ada akil baligh juga. Orang yang lompat parti dan masuk parti politik lain adalah mereka yang tidak akil baligh dalam politik,” katanya.

Dipetik Bernama, Menteri Besar Kelantan itu mengakui perbuatan itu menjadi amalan biasa dalam politik sekarang.

Katanya, malah di kalangan pemimpin PAS sendiri pernah berlaku keadaan sebegitu ketika di peringkat awal kerana masih belum mengenali perjuangan politik Islam sebenar parti itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program JPM Super Drive Challenge KB 2010, di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini hari ini, ketika diminta mengulas keputusan Ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong, mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam.

Wee muncul wakil rakyat terbaru keluar PKR semalam atas kesal dengan kepimpinan PKR dan pakatan pembangkang yang gagal mengambil tindakan terhadap skandal pasir di Dengkil, Selangor.

Sebelum ini empat Ahli Parlimen PKR sudah menjadi wakil rakyat Bebas di Dewan Rakyat.

Malah lima Ahli Dewan Undangan Negeri PKR juga sudah menjadi wakil rakyat Bebas iaitu di Kedah, Perak dan Selangor.

Tindakan tiga Adun iaitu dua dari PKR dan seorang wakil DAP di Perak membawa kepada tumbangnya kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Rakyat awal tahun lalu.

Kini tumpuan memfokus terhadap Kedah ekoran perbezaan empat kerusi antara Pakatan Rakyat dan barisan pembangkang.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud