ARTIKEL SEBELUM

12/05/10

Nik Aziz serah polis siasat aduan perkasa


Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyerahkan kepada polis untuk menyiasat aduan yang dibuat Perkasa Selangor kelmarin berhubung isu larangan menggunakan masjid untuk tujuan politik.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Ahmad Fadhli Shaari memberitahu perkara itu dalam kenyataan ringkas di sini.

“Saya ingin menyatakan bahawa oleh kerana perkara tersebut telah dilaporkan kepada pihak polis, maka pihak Menteri Besar tidak berhasrat untuk mengulas lanjut.

“Menteri Besar serahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan lanjut,” katanya.

Perkasa Selangor membuat satu laporan polis ke atas Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am PAS.

Aduan polis itu turut melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Laporan menyebut Nik Aziz tidak mematuhi Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1996 berikutan mempertikaikan larangan Sultan Selangor supaya tidak berpolitik di masjid dan surau.

Difahamkan Nik Aziz dirujuk kepada tindakannya semasa berkempen pada pilihan raya kecil Hulu Selangor bulan lalu.

Sementara itu laporan ke atas Lim pula berikutan kenyataannya pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang baru-baru ini telah menuntut Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan meletakkan jawatan.

Tindakan Setiausaha Agong DAP itu dianggap satu prejudis dan hasutan yang boleh menimbulkan ketidaktentuan, rasa gelisah dan persepsi buruk rakyat terhadap Polis Diraja Malaysia di samping penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong kerana pelantikan Musa sebagai KPN adalah melalui perkenan Yang di-Pertuan Agong.- mi

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud