Beliau menyifatkan berita itu sengaja direka akibat tindakan terdesak Barisan Nasional untuk memenangi pilihan raya kecil Sibu 16 Mei ini.
"Dia bukan Ketua AMK Sibu. Umurnya sahaja sudah 42 tahun. Ini adalah taktik lapuk dan usang yang dilakukan BN menunjukkan mereka semakin terdesak untuk menang pilihan raya kecil ini," katanya kepada Suara Keadilan.
Bernama melaporkan Isnin lalu Ketua AMK Sibu, Jee Chang Peng, 42, keluar parti dan bercadang untuk menyertai parti komponen BN.
Menurut Shamsul Iskandar, berita itu sengaja diadakan bagi melemahkan pengaruh Pakatan Rakyat Sarawak yang kini semakin kuat dan bakal memberikan saingan sengit kepada BN pada PRK itu.
"Di Sibu bukan KEADILAN yang bertanding tetapi DAP. Tetapi mereka melakukan ini untuk longgarkan kesepakatan dalam Pakatan Rakyat. Perkara ini tidak sedikit pun melemahkan kita dan kita semakin yakin untuk menentang mereka," ujarnya.
KAITAN CERITA
Ketua Pemuda PKR Sibu keluar parti
SIBU, 10 Mei — Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sibu, Jee Chang Peng, 42, hari ini mengumumkan keluar parti.
Katanya beliau bercadang untuk menyertai parti komponen Barisan Nasional tetapi masih belum membuat keputusan untuk menyertai parti yang mana.
Ketika ditanya Jee mendakwa beliau keluar dari parti itu disebabkan perbalahan dalaman dan keadaan parti yang kucar-kacir.
"PKR di sini kucar-kacir dan ramai ketua cawangan di sini yang berebut jawatan serta bergaduh setiap kali diadakan mesyuarat," katanya yang menyertai parti tersebut sejak awal penubuhannya.
Bercakap kepada pemberita di sini, Jee mendakwa seramai 70 rakannya akan turut keluar PKR.
— Bernama