ARTIKEL SEBELUM

15/05/10

Mahu singkir Mahathir dari umno ?


KUALA LUMPUR, 14 Mei — Gabungan Perpaduan Malaysia (Permai) menggesa Umno bertindak tegas dengan menyingkirkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Gertak Razali Idris dari parti itu ekoran program “Melayu Bangkit”, yang dijadual diadakan sempena memperingati peristiwa 13 Mei, semalam.

Pertubuhan yang mendakwa dianggotai kira-kira 200 pertubuhan bukan kerajaan pelbagai kaum mengemukakan gesaan dengan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Brickfields di sini, pagi tadi.

“Kami membuat laporan polis meminta pihak berkuasa siasat dan mahu Umno mengambil tindakan tegas ke atas Razali yang menganjurkan program ini manakala Dr. Mahathir bersetuju untuk menghadiri sebagai tetamu kehormat,” kata jurucakap Permai, A. Rajaratnam selepas membuat laporan polis.

Rajaratnam yang juga Presiden Persekutuan Pertubuhan India Malaysia berkata, tindakan kedua-dua Dr. Mahathir dan Razali sebenarnya bertentangan dengan konsep 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dr. Mahathir merupakan bekas presiden Umno manakala Razali pula salah seorang pemimpin Umno Bahagian Marang, Terengganu.

Kata beliau, Najib sebagai Presiden Umno perlu mengambil tindakan tegas memandangkan program itu yang ditangguhkan sebenarnya satu usaha mengungkit peristiwa hitam empat dekad lalu, selain bercanggah dengan semangat yang diperlihatkan oleh perdana menteri.

Selain itu, Rajaratnam yang awalnya mengumumkan mahu bertanding dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor tetap mengubah fikiran kemudian menambah, pihaknya juga hairan kerana belum ada pendirian rasmi Umno dalam isu ini.

“Parti-parti komponen BN seperti MCA dan MIC telah menyatakan pendirian mereka dalam hal ini, tetapi Umno belum membuat pendirian rasmi kecuali ada individu seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz menyatakan pendapat mereka yang mengecam.

“Jadi kami juga berharap Umno akan membuat pendirian rasmi. Tetapi saya pasti bahawa program itu ditangguhkan atas arahan Perdana Menteri tetapi di mana pendirian rasmi Umno?” katanya.

Rajaratnam memberitahu, pihaknya akan mengadakan satu perjumpaan protes sekiranya Umno tidak mengambil tindakan tegas ke atas Dr. Mahathir dan Razali selain menyatakan pendirian rasmi Umno.

“Program Melayu Bangkit tidak dibatalkan tetapi ditangguhkan, bermakna program ini akan diteruskan. Jadi Umno perlu menyatakan pendirian mereka,” katanya.

Ketika ditemui wartawan pagi tadi, Dr. Mahathir mempertahankan keputusannya untuk menghadiri perhimpunan “Melayu Bangkit” sambil menegaskan rakyat tidak harus melupakan peristiwa berdarah itu.

Bekas perdana menteri itu berkata, ia penting untuk memastikan negara tidak berhadapan dengan peristiwa seumpama itu sekali lagi.

Bagaimanapun pertemuan itu ditangguhkan ekoran arahan penganjur bersama Institut Integriti Negeri Terengganu, yang dipercayai turut disebabkan bantahan pelbagai pihak termasuk komponen Barisan Nasional sendiri.

Pihak penganjur berkata ia ditangguhkan selepas mendapat arahan Institut Integriti Negeri Terengganu kerana melibatkan isu keselamatan negara.

Razali sebelum ini berkata Institut Integriti Negeri Terengganu telah menasihatkan supaya perhimpunan tersebut ditangguhkan.

Razali berkata program itu akan diteruskan kemudian hari.

Pengarah Institut Integriti Negeri Terengganu Arpin Draman berkata, ada beberapa pihak yang tersalah anggap mengenai tujuan program itu diadakan memandangkan tarikh 13 Mei mengundang kontroversi.

Arpin berkata pemilihan tajuk program “Melayu Bangkit” bertujuan menarik minat masyarakat terutama golongan belia agar “bersemangat” untuk hadir.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud