Ketika ditanya mengenai perkara itu semalam, Perdana Menteri berkata: "'Kita perlu tengok dulu apa punca kerugian. Ini kita kena kaji sebelum kita boleh buat apa-apa tentang kebertanggungjawaban dalam soal ini".
“Sime Darby mengalami kerugian besar akibat lebihan kos berjumlah kira-kira RM1.6 bilion. Saya telah menyatakan sebelum ini bahawa Najib sebagai Menteri Kewangan adalah orang yang paling bertanggungjawab terhadap kerugian itu," kata Salahuddin.
Menurut beliau, berdasarkan laporan tahunan Sime Darby 2009, Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) mempunyai 39 pegangan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 14 peratus dan PNB sendiri 13 peratus. ASB berada di bawah PNB.
"Ia bermakna pegangan PNB dan KWSP dalam Sime Darby berjumlah 66 peratus dan kedua-duanya bertanggungjawab terus kepada Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri," kata beliau.
Rakyat, katanya, tidak boleh menerima penjelasan bahawa lembaga pengarah Sime Darby yang turut dianggotai oleh wakil-wakil dari PNB dan KWSP tidak menyedari awal-awal lagi kemungkinan kerugian yang akan dialami.
"Peniaga kecil pun membuat kajian kemungkinan (feasibility study) dan penilaian prestasi (performance appraisal), sebab itulah rakyat tidak boleh menerima jika lembaga pengarah Sime Darby didakwa tidak menyedari kerugian itu sejak dari awal lagi," kata Salahuddin.
Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, sejak dari awal lagi beliau mempersoalkan di manakah jawatankuasa audit dan akaun Sime Darby.
"Adakah jawatankuasa audit dan akaun itu tidak mengesan kerugian tersebut lebih awal?
"Jika mereka telah mengesan kerugian itu lebih awal dan melaporkannya kepada Lembaga Pengarah Sime Darby, apa yang dilakukan oleh lembaga pengarah GLC itu termasuk wakil-wakil dari PNB dan KWSP?" tanya Salahuddin.
Lebih dari itu, katanya, jika kerugian itu dikesan sejak dari awal lagi, adakah PNB dan KWSP tidak melaporkannya kepada Menteri Kewangan.
"Sebab itulah saya menyatakan sebelum ini, jika Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan tidak sedar kerugian yang sebegitu besar, sistem kebertanggungjawaban apa yang digunakan oleh kementeriannya?
"Tidak sedar bermakna kelalaian atau negligence dan negligence boleh dianggap breach of duty.
"Sebab itulah jika Perdana Menteri tidak sedar, beliau tidak layak menjadi Menteri Kewangan dan rakyat mesti menuntut beliau berundur.
"Jika beliau telah dilaporkan awal-awal tentang kerugian itu dan tidak berbuat apa-apa, adalah jelas beliau adalah sebahagian dari pihak yang bersalah atas kerugian itu dan beliau mesti berundur jika beliau seorang yang bertanggungjawab dan bersifat patrotik kepada negara ini," katanya.
Salahuddin juga meminta rakyat menyedari bahawa kerugian Sime Darby bukanlah yang pertama yang dialami oleh GLC dan tidak semesti yang terakhir.
"Sebelum ini kita mendengar kerugian Mas, Maybank dan sebagainya. Semua itu hakikatnya adalah simptom kepada penyakit sebenarnya iaitu pentadbiran Umno dan Barisan Nasional yang sarat dengan kelalaian, kepentingan sendiri, penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa," katanya.- harakahdaily