Keempat-empat Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah (ADUN) Pakatan Rakyat (PR) yang di uar-uarkan akan melompat parti mengesahkan kehadiran mereka pada ceramah anjuran PAS negeri itu di Kompleks PAS, Kota Sarang Semut 22 Mei ini.
Mereka ialah S Manikumar (PKR-Bukit Selambau), Tan Chow Kang (PKR-Sidam), Lim Soo Nee (PKR-Kulim) dan Lee Guan Aik (DAP – Kota Darul Aman).
Zulkifli Noordin, bekas ahli parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang melompat parti menjadi ahli bebas, dalam blognya baru – baru ini meramalkan bahawa sebuah kerajaan negeri akan tumbang tidak lama lagi apabila ada di kalangan ADUN PR akan berpaling tadah.
Sabtu lalu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata ceramah khas itu diadakan bagi menjelaskan spekulasi bahawa kerajaan negeri di bawah pentadbiran PR akan tumbang sekiranya lebih ramai ADUN PKR melompat parti.
Menurut beliau, ke semua ADUN dan pemimpin peringkat akar umbi akan hadir pada majlis ceramah itu nanti.
Ketika dihubungi , Tan menolak dakwaan bahawa beliau akan melompat parti tetapi sebaliknya menegaskan beliau akan kekal bersama parti.
"Saya akan hadir ceramah 22 Mei ini bagi memberi jawapan sebenar kepada rakyat. Saya masih kekal bersama PKR dan saya tidak akan lompat parti," jelas beliau.
Menurutnya, beliau bersama tiga ADUN yang lain akan menyampaikan ceramah pada hari itu, sekali gus menamatkan desas desus mereka akan melompat parti hingga boleh menyebabkan kerajaan negeri PR kehilangan majoriti.
Sementara itu, Manikumar berkata beliau dan tiga rakannya itu tidak ada hasrat untuk keluar dari PR seperti yang diuar-uarkan.
Beliau menuduh Umno-Barisan Nasional menyebarkan khabar angin tersebut agar mengucar-kacirkan kerajaan negeri hingga terpaksa membubarkan DUN.
Manikumar berkata beliau juga akan menghadiri ceramah tersebut bagi menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat agar rakyat tidak keliru dan sentiasa menyokongnya dan rakan-rakan lain dalam PR.
Beliau mengakui mempunyai hubungan baik dan erat dengan Azizan dan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kassim yang juga Ketua Pengerusi PKR Negeri.
"Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana ketua PKR negeri, ketua-ketua lain mahupun Ketua Bahagian PKR. Saya mempunyai hubungan baik dengan mereka," kata ManikumarManikumar.- FMT