Sampel air mani yang diperoleh dari dubur Saiful Bukhari Azlan berkemungkinan besar telah diletakkan pihak tertentu untuk menganiaya Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, tegas peguam Karpal Singh beberapa ketika sebelum Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar.
Ini kerana laporan dari tiga doktor kerajaan di Hospital Kuala Lumpur mengesahkan bahawa tidak ada kesan tusukan pada dubur penuduh.
"Jika tiada tusukan, bagaimana mungkin adanya kesalahan?" soal Karpal di hadapan Hakim Besar Malaya Arifiin Zakaria, Hakim James Foong dan Hakim Mahkamah Rayuan Suriyadi Halim Omar.
"Kehadiran air mani seraya mencadangkan bahawa bukti ini telah diletakkan di situ. Logik akal mengatasi segala syak kerana para doktor sendiri mengesahkan tidak ada tusukan. Lantas, dari mana datangnya sperma ini?" tegas beliau.
Sebelum itu, Peguamcara II Mohd Yusof Zainal Abiden yang mengepalai pasukan pendakwaraya terhadap Anwar Ibrahim memberitahu mahkamah bahawa calitan empat putik kapas membuktikan kehadiran air mani.
Yusof berkata penemuan spermatozoa pada putik kapas ini diperoleh dari calitan keatas dubur penuduh, seraya menunjukkan adanya perlakuan sodomi.
Selepas mendengar hujah dari kedua-dua belah pihak, panel tiga hakim di Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar Ibrahim menggugurkan pertuduhan fitnah liwat.
Hakim Besar Malaya Arifin Zakaria berkata hujah kedua-dua pihak sewajarnya dibuktikan dalam perbicaraan penuh.