PULAU PINANG: Gerakan Pulau Pinang hari ini mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen bagi menumpukan sepenuh perhatian dalam usaha menarik pelaburan ke negeri ini.
Penolong Setiausahanya, Goh Kheng Sneah berkata, dengan memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua Menteri, Lim mampu mengembangkan ekonomi Pulau Pinang.
"Jangan buat dua kerja dalam satu masa kalau tidak mampu. Jangan jadikan jawatan Ketua Menteri sebagai kerja sambilan, tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada beliau perlu dilaksanakan dengan baik," katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Goh berkata, pelaburan di Pulau Pinang pada tahun lepas hanya berjumlah RM2.2 bilion berbanding RM10.2 bilion pada 2008, satu penurunan kira-kira 80 peratus.
Penurunan ketara ini katanya, jelas menunjukkan Lim tidak mampu menggalas tanggungjawabnya sebagai Ketua Menteri dan Ahli Parlimen Bagan dalam satu masa.
"Mengikut sumber yang saya ada, sejak beliau (Lim) menjadi Ketua Menteri, sebanyak 15 kali beliau ke luar negara atas alasan ingin mencari pelabur luar masuk ke Pulau Pinang. Sekiranya betul beliau ke luar negara untuk tujuan itu, kenapa pelaburan di sini menurun? soal Goh.
Goh mendakwa penurunan jumlah pelaburan itu satu petanda bahawa rakyat Pulau Pinang berada di zon bahaya dan pada tahun ini akan menyaksikan penurunan lebih ketara ekoran penolakan kerajaan negeri terhadap pelaburan berjumlah RM10 bilion atas alasan kekurangan tenaga mahir.
Tindakan menolak pelaburan itu tidak wajar dan kurang bijak kerana pelaburan itu mampu membantu memulihkan iklim pelaburan di negeri ini, katanya.
Goh menyifatkan penolakan pelaburan RM10 bilion itu sebagai sesuatu yang tidak adil untuk rakyat Pulau Pinang kerana di awal 1970-an negeri ini tidak mempunyai tenaga kerja mahir ketika sektor perindustrian mula bertapak.
Goh turut mencabar Lim untuk mengeluarkan jumlah pelaburan terbaru sepanjang Januari hingga Februari 2010, yang didakwanya setakat ini hanya berjumlah RM100 juta. -BERNAMA