ARTIKEL SEBELUM

31/05/10

Dr Mahathir Bersuara


PUTRAJAYA, 31 Mei — Pengerusi Perdana Global Peace Organisation (PGPO) Tun Dr Mahathir Mohamad mengutuk tindakan Israel memintas armada kapal kecil yang sedang dalam perjalanan ke Semenanjung Gaza hari ini.

“Saya amat marah dengan pencabulan pasukan Israel terhadap orang yang tidak bersenjata. Saya pasti Israel akan kata orang ini membawa banyak senjata. Ini tidak masuk akal,” katanya pada sidang akhbar di sini.

“Kami telah pastikan bahawa kesemuanya bukan pejuang dan mereka datang dari seluruh pelusuk dunia termasuk dari Amerika dan Eropah,” katanya.

“Niat mereka sebenarnya untuk belayar dengan bot bagi menghantar bekalan ke Gaza. Mereka tahu bahawa Israel akan menghalang mereka tapi kami tidak jangka bahawa Israel akan menggunakan kekerasan termasuk menembak dengan peluru hidup,” katanya.

“Israel mendakwa orang ini mempunyai banyak objek-objek tajam. Saya tak tahu apa yang dimaksudkan dengan objek-objek tajam,” katanya.

Pada mulanya, armada kapal kecil itu mengandungi sembilan buah kapal, yang dianjurkan oleh kumpulan pro-Palestin dan pertubuhan hak asasi manusia Turki.

Sebuah daripada kapal itu, Mavi Marmara, diserang oleh tentera Israel pagi ini, berdekatan Gaza, dengan dua rakyat Malaysia — seorang wartawan dan seorang jurukamera dari Astro Awani — berada di atas kapal dengan nasib mereka masih belum diketahui.

Bagaimanapun, enam wakil PGPO selamat kerana mereka berada di atas kapal lain.

Dr Mahathir (gambar) berkata arahannya kepada wakil PGPO untuk meneruskan perjalanan dan berpatah balik jika terdapat amaran daripada tentera Israel.

Sambil mengemaskini lokasi tiga kapal PGPO, mantan perdana menteri itu berkata mereka masih berada di Mediterranean dalam perjalanan ke Gaza.

Dr Mahathir berkata dua buah kapal mengalami kerosakan dan ini menyebabkan mereka ketinggalan jauh di belakang untuk menyertai enam kapal yang lain yang berkumpul lebih awal di Cyprus.

“Ia mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hari sebelum mereka (kapal-kapal Malaysia) boleh tiba di Gaza,” katanya. — Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud