Ahli Majis Pimpinan Pusat, Parti Keadilan Rakyat, Datuk Johari Abdul (gambar) berkata, beliau juga tidak nampak strategi Umno BN itu akan membuahkan kejayaan, apatah lagi mahu merampas kembali pentadbiran negeri yang telah dimenangi PR dalam pilihan raya umum yang lalu.
"Mereka (BN) juga jangan ambil risiko dan ingat mereka hebat, kalau pun diadakan pilihan raya jangan ingat BN akan menang, belum tentu BN akan menang," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas serangan terhadap negeri Kedah sehingga kerajaan negeri menganjurkan ceramah khas isu bubar Dun malam ini.
Menurutnya, isu pembubaran Dun Kedah hanyalah mainan politik Umno dan perang psikologi mereka terhadap kerajaan PR Kedah.
Umno selaku pembangkang di negeri itu katanya menjadi tidak tentu arah apabila Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berjaya mengawal dan mentadbir negeri dengan baik.
"Mereka mencipta berbagai fitnah, usaha dan helah untuk memporak-perandakan kestabilan pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) yang diketuai oleh Ustaz Azizan, namun kerajaan negeri mampu menahan asakan tersebut dengan baik.