"Saya datang ke Sibu bagi membantu calon kita dari DAP, jadi saya harap penduduk di Sibu dapat bersama saya memberi kemenangan kepada calon kita, Wong Ho Leng.
"Kemenangan calon Pakatan Rakyat bermakna kita bersama membantu banteras rasuah yang sudah menjadi darah daging pemimpin Umno-Barisan Nasional.
"Umno memang tidak pernah serius untuk mengatasi rasuah kerana pemimpin mereka yang menghalalkan rasuah. Kita lihat kes pembelian kapal selam, berapa banyak rasuah pemimpin tertinggi Umno ambil, tapi mereka sifatkan itu bukan rasuah tapi komisyen.
"Mereka ingat rakyat Malaysia boleh diperbodohkan tak boleh bezakan antara rasuah dengan komisyen," kata beliau ketika berucap di hadapan tiga ratus penyokong dari kaum Cina di Jalan Market Street di sini malam tadi.
Anwar menjelaskan kepada pengundi Cina bahawa Sarawak sebuah negeri yang kaya tetapi rakyat tidak dapat menikmati kekayaan tersebut.
"Malam ini saya akan beritahu kenapa Sarawak adalah sebuah negeri yang kaya dengan hasil buminya tetapi rakyat tidak dapat menikmati kekayaan tersebut.
"Setiap pemimpin Umno-BN yang berkuasa mereka hanya pentingkan poket dan keluarga mereka sahaja, mereka akan merampas harta rakyat selagi mereka memerintah. Ini boleh dibuktikan dengan pemerintahan Tan Sri Taib Mahmud, siapa yang kaya Taib Mahmud atau rakyat," tanya beliau.
Ketua Pembangkang juga berkata kemenangan calon Pakatan Rakyat akan dapat membantu menjadikan negeri Sarawak menjadi lebih baik daripada kerajaan BN.
"Kita perlu jaga negeri ini agar menjadi lebih baik dan untuk jadikan ia baik kita perlu pastikan kemenangan calon DAP. Saya mahu Sarawak menjadi negeri yang hebat dan lebih baik lagi jika dibandingkan semasa pemerintahan BN.
"Rakyat Sibu boleh bandingkan negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat dengan negeri di bawah BN. Lihat pemimpin mana yang kaya. Kita bukan cakap kosong tapi ini boleh dibuktikan. Inilah landasan pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat iaitu kita tidak akan ambil hak rakyat malah kita kembalikan hak itu kepada rakyat.
"Ingat prinsip Pakatan Rakyat 'Negeri Kaya Rakyat Senang' tapi BN negeri kaya rakyat susah. Saya harap rakyat Sibu gunalah peluang yang ada ini untuk lakukan perubahan demi kebaikan yang kita inginkan," kata Anwar lagi.