Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Selangor
18hb April 2010
Tindakan Ahli Keluar Parti PKR Tidak Jejas Semangat Menjana Kemenangan di PRK Hulu Selangor
Angkatan Muda Keadilan Selangor yakin tindakan keluar parti ahli PKR yang kononnya mendakwa dirinya Ketua dan Timbalan AMK Cabang Shah Alam langsung tidak memberikan kesan kepada jentera dan kekuatan AMK di Hulu Selangor. Sebenarnya individu tersebut sudah lama tidak aktif dalam gerak kerja parti semenjak 2 tahun lebih. Malahan jawatan tersebut telah dipangku oleh individu lain.
AMK Selangor yakin ianya sebahagian perancangan jijik UMNO/BN untuk menghilangkan kenyakinan rakyat kepada PKR. Namun tindakan tersebut sebenarnya langsung tidak memberi kesan apa-apa kepada keyakinan pengundi Hulu Selangor kepada calon berwibawa Datuk Zaid Ibrahim.
Tindakan jijik keluar parti itu sebenarnya episod ulangan yang digunakan oleh UMNO/BN yang sudah ketandusan idea-idea pembaharuan dan gagasan membela rakyat. Justeru isu lapok yang dibawa ialah fitnah, adu-domba dan keganasan politik lantaran penolakan total rakyat kepada Barisan Nasional sebelum ini.
AMK Selangor menegaskan calon yang ditampilkan oleh Parti Keadilan Rakyat adalah individu yang akan membawa suara pembelaan rakyat ke Parlimen. Integriti tinggi dan berprinsip yang dibawa oleh Datuk Zaid Ibrahim mencerminkan gagasan pembaharuan yang di bawa oleh Pakatan Rakyat.
Rakyat di Parlimen Hulu Selangor amat bertuah Datuk Zaid Ibrahim adalah insan hebat yang memegang prinsip dan memahami denyut nadi perjuangan rakyat pelbagai agama dan bangsa serta menjadi harapan baru kepada suara rakyat Hulu Selangor. Justeru untuk membawa agenda Selamatkan Malaysia, beliau adalah individu yang paling layak membawa obor perjuangan rakyat ini.
Mohd Ezli Mashut
Ketua Penerangan AMK Selangor