ARTIKEL SEBELUM

18/04/10

Puteri umNO ada senjata Serang Dakwaan Pembangkang



Pergerakan Puteri Umno akan menggunakan laman web sosial 'facebook' dan blog bagi menangkis tohmahan dan memperbetulkan fakta terhadap isu-isu yang dimanipulasikan lawan Barisan Nasional (BN).

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata setiap anggotanya akan diminta menggunakan kedua-dua saluran teknologi terkini itu sebagai sebahagian pendekatan serangan.

"Setiap anggota Puteri akan membuka laman web sosial 'facebook' dan blog tersendiri bagi memantau blog-blog yang boleh menjejaskan kempen BN di samping menjelaskan pelbagai tuduhan dan tohmahan yang diwujudkan pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan jentera Puteri Umno bagi pilihan raya itu di Pusat Operasi BN, di Bukit Sentosa di sini, pada hari Sabtu.

"Kita mempunyai kumpulan penerangan yang turun padang bersama kumpulan kempen rumah ke rumah bagi memberi penjelasan mengenai mana-mana isu kerajaan pusat yang di manipulasi dan kita cuba membetulkan bahawa kerajaan pusat tidak sekejam yang dicakapkan oleh parti pembangkang," katanya.

Menurutnya, tumpuan utama pergerakan itu lebih kepada pengundi muda khususnya pengundi wanita berusia 21 hingga 40 tahun yang mewakili sebanyak 31.5 peratus daripada kira-kira 20,800 pengundi muda di kawasan berkenaan.

Beliau berkata selain kempen dari rumah ke rumah, pendekatan Puteri kali ini juga menjurus kepada program kemasyarakatan dan kebajikan di samping mewujudkan pasukan sukarelawan membanteras denggi di kawasan kampung-kampung.

"Pergerakan Puteri sudah matang menggunakan pendekatan yang betul dalam mengendalikan kerja mereka berdasarkan pengalaman banyak melalui beberapa pilihan raya lepas dan dalam pada itu mereka juga perlu menjaga keselamatan dan mengelakkan kontroversi dengan pihak pembangkang," katanya.

Pilihan raya kecil itu akan menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Ketua Penerangan MIC P. Kamalanathan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim daripada PKR dan dua calon Bebas bekas Naib Pengerusi MIC Hulu Selangor V.S. Chandran dan ahli perniagaan Johan Mohd Diah.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lepas. Pengundian akan diadakan pada 25 April.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud