Mungkin satu hari nanti anak kita menjadi mangsa seperti ini ?
SHAH ALAM 28 Apr - Barisan peguam aktivis Pakatan Rakyat yang menawarkan diri untuk mewakili keluarga seorang remaja yang mati ditembak polis awal pagi Isnin mendesak Polis DiRaja Malaysia menjalankan siasatan secara bebas, adil dan telus.
Ketua Penerangan KEADILAN merangkap peguam kes ini, Latheefa Koya membidas tindakan polis yang mendakwa remaja 15 tahun itu, Aminulrasyid Amzah terlibat dalam kes jenayah.
Menurut beliau, tindakan itu melambangkan kelemahan anggota polis sekaligus membuktikan PDRM tidak profesional menjalankan tanggungjawab mereka apabila mengeluarkan kenyataan sebelum siasatan dibuat.
"Kami ada saksi, kami akan 'follow up' isu ini. Kes sebegini tidak boleh berulang lagi.
"Kami akan bangkit supaya Suruhanjaya Bebas diwujudkan bagi menyiasat kes ini dan polis tidak boleh sewenang-wenangnya melepaskan tembakan kerana ada etika yang sepatutnya untuk berbuat demikian ataupun menggunakan senjata api.
"Dan kami minta anggota yang terlibat digantung keanggotaannya, dilucutkan jawatan mereka serta diambil tindakan disiplin secepat mungkin," katanya pada sidang media selepas menemai ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohamad, 60 membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam petang semalam.
Sehubungan itu, Latheefa juga berkata, pihaknya akan terus memantau tindakan kes tersebut bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah Exco Kerajaan Negeri Selangor Yaakub Sapari, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam.
Sementara seorang lagi peguam N Surendran tidak dapat menerima alasan yang diberikan pihak polis yang membenarkan polis menembak remaja berkenaan.
Beliau juga mengecam tindakan polis bahawa mereka tidak memiliki kuasa yang membenarkan mereka menembak seseorang sesuka hati biarpun jika pemandu tidak mempunyai lesen kereta melainkan keselamatan mereka terancam.
"Polis harus mematuhi prosedur sebelum mengambil sebarang tindakan drastik yang mengancam nyawa orang awam," tegas beliau.
Surendran turut mengecam kenyataan awal polis yang mendakwa remaja tersebut terlibat dalam kegiatan menyamun dan memiliki senjata.
Aminulrasyid ditembak mati oleh peronda polis kira-kira jam 2 pagi di Jalan Tarian 11/2 Shah Alam, sekitar 100 meter dari rumah mangsa.
Mangsa dikatakan sedang memandu Proton Iswara berdaftar di bawah nombor BET 5023 ketika kejadian.
Turut berada di sebelah mangsa ketika kejadian, rakan sebayanya.
Polis juga mendakwa juvana tersebut adalah kumpulan geng samun dan memiliki sebuah parang di dalam kereta yang dinaikinya.
Mangsa dilaporkan mati ditembak dengan beberapa das tembakan dari arah belakang.
keluarga Amirul curiga tindakan Polis
"Saya tahu siapa anak saya. Saya yang lahirkan dia." Itu keluhan seorang ibu yang meratapi kepergian anaknya berusia 15 tahun yang mati ditembak dari belakang oleh anggota polis.
Kejadian semalam adalah insiden terbaru yang menimbulkan kecurigaan terhadap kewibawaan polis.
Lebih meragukan ialah penjelasan kilas oleh ketua polis negeri yang mendakwa mangsa , Aminulrashid Amzah mungkin penjenayah dan sebilah parang di jumpai dalam kereta mangsa.
Kenyataan itu diberi walaupun belum pun ada siasatan menyeluruh dilakukan dan mengundang satu lagi pusingan kritikan dan tuduhan bahawa pihak polis cuba menutup kesalahan diri.
Genangan air mata ahli keluarga dan sahabat mengiringi jenazah Allahyarham Aminulrashid Amzah untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam petang semalam.
Jenazah Allahyarham sebelum itu disembahyangkan di Madrasah Hidayah Seksyen 11 di sini.
Remaja berusia 15 tahun ini mati ditembak polis di Shah Alam awal pagi semalam.
Polis mendakwa kereta yang dipandu oleh Allahyarham cuba merempuh anggota polis peronda dan polis bertindak melepaskan tembakan yang membunuh Aminulrashid.
Namun lain pula gambaran yang diberikan oleh rakan Aminulrashid yang ada bersama Allahyarham dalam kereta semasa kejadian.
Dalam laporan polis ini, kawan yang sebaya dengan Allahyarham menegaskan Aminulrashid dalam ketakutan apabila terlanggar kenderaan lain dan memintas kereta peronda berkenaan.
Setelah dipintas, anggota peronda terus mengejar dan melepas tembakan yang mengena sasaran.
Aminulrashid rebah dalam kereta dengan luka tembakan di belakang kepalanya.
Saksi ini melaporkan beliau kemudian di pukul oleh anggota polis sebelum sempat melepaskan diri. Beliau kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Shah Alam.