ARTIKEL SEBELUM

24/04/10

‘Pilihan raya kecil paling teruk, kotor dan korup’


Calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim menganggap pilihan raya kecil Hulu Selangor Ahad ini sebagai “paling teruk, kotor dan korup” selain membabitkan politik wang luar biasa di pihak Barisan Nasional (BN).

“Perkara membeli undi ini bukan pertama kali, cuma kali ini jumlahnya agak luar biasa yang ditawarkan BN kepada pengundi.

“Kalau wang menjadi penentu keputusan, saya rasa BN akan menang 222 kerusi.

“Sepanjang terlibat dalam politik saya lihat ini pilihan raya yang paling teruk, paling, paling kotor dan paling agresif yang dilakukan BN bagi memperoleh kemenangan,” katanya ketika sidang media di pusat media PKR, Kuala Kubu Baru pagi tadi.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu percaya walaupun pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan terhadap dirinya ia akan dapat diatasi.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin mencabar calon BN, P. Kamalanathan untuk berdebat dengan calon Zaid di bawah tajuk “Isu Keselamatan Negara” esok.

Zuraida berkata debat tersebut akan dianjurkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya ialah Angkatan Belia Islam Malaysia dan Jemaah Islam Malaysia di Padang Awam Hulu Bernam pada pukul 8.30 malam.

“Saya cabar Kamalanathan untuk hadir. Jika Kamalanathan seorang calon yang berkeyakinan dia perlu tampil untuk menunjukkan kewibawaannya dalam mengetengahkan isu keselamatan negara,” katanya.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, beberapa ahli panel akan turut serta pada majlis debat berkenaan termasuk bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ezam Mohd Noor dan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution.

Zaid berkata beliau sedia berdebat dengan sesiapa sahaja bagi termasuk pemimpin-pemimpin Umno seperti Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud