Kolumnis kontroversi Mingguan Malaysia, Awang Selamat secara terbuka menegaskan bahawa perwakilan MCA telah melakukan kesilapan dengan memilihkan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai presiden parti itu.
"Apa yang berlaku seolah-olah MCA ketandusan pemimpin dan tidak berani menyandar harapan kepada pemimpin pelapis," tulis Awang dalam kolum mingguannya.
Awang mendakwa perwakilan parti itu - yang merupakan komponen BN - gagal membawa aspirasi masyarakat Malaysia dalam memilih pemimpin yang terbaik dalam semua aspek terutama akhlak.
"Soi Lek sepatutnya besar dan tidak semestinya bertanding hanya kerana ada sokongan daripada ahli MCA.
"Skandal tersebut adalah sesuatu yang serius. Pemimpin harus bersih atau setidak-tidaknya kelihatan bersih," tambahnya.
Dalam pemilihan MCA baru-baru ini, Chua terpilih sebagai presiden baru MCA dengan menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Ong Tee Keat dan seorang lagi pencabar, Tan Sri Ong Ka Ting.
Awang menyifatkan tindakan Chua untuk bertanding jawatan lebih tinggi sampai ke puncak, hanya menampakkan beliau pentingkan diri.
"Awang bukan berniat mencampuri urusan MCA tetapi isu moral tidak boleh diambil ringan.
"Jika pemimpin BN mempersoalkan moral pemimpin utama pembangkang, mengapa pula MCA boleh berkompromi dalam hal tersebut," tambahnya.
Namun begitu, kata Awang, beliau secara peribadi tetap menghargai keberanian Chua kerana membuat pengakuan terlibat dalam skandal seks.
Sehubungan itu, beliau memuji langkah Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun yang melepaskan jawatannya dalam parti dan kerajaan atas prinsip tidak dapat menerima Chua sebagai peneraju parti itu berikutan skandal DVD seks.
"Awang angkat topi kepada Mei Fun. Beliau berpegang kepada prinsip," tulis Awang lagi. - msiakini

