ARTIKEL SEBELUM

27/04/10

PEROMPAK SILAP ORANG

ALOR GAJAH - Gara-gara cuba merompak rumah Ketua Platun Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), dua daripada empat perompak cedera ditembak dengan senapang.

Demi melindungi nyawa ahli keluarga, ahli perniagaan, E Lai Choon, 60, nekad melepaskan tembakan ke arah empat perompak berkenaan dalam satu kejadian di sini, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi di rumahnya yang terletak di sebuah pusat peranginan.

Perompak bukan sahaja mengalami kecederaan akibat tembakan itu, malah ‘berputih mata’ kerana tidak sempat merompak barang-barang di rumah itu.

Salah seorang perompak yang cedera ditembak dan cuba melarikan diri berjaya ditangkap polis jam 12 tengah hari semalam, di Kilometer 214.2, Lebuh Raya Utara Selatan menghala arah utara, dalam keadaan mengerang kesakitan di dalam semak.

Lai Choon berkata, ketika kejadian, dia dan isteri tidur di tingkat atas banglo selepas pulang menghadiri pertandingan karaoke di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, lebih kurang jam 2 pagi.

Anak lelaki, menantu dan cucu lelaki berumur 2 tahun turut berada di dalam rumah.

“Saya terdengar cucu menangis dengan kuat diikuti suara lelaki berbahasa Melayu di dalam bilik anak lelaki di bahagian depan.

"Saya terdengar suara lelaki itu mengarahkan anak dan cucu saya supaya tidak melawan dan mengugut akan membunuh mereka jika berdegil," katanya.

Ahli perniagaan itu berkata, tanpa berfikir panjang, dia terus mencapai senapang berisi empat butir peluru di bawah katil.

“Dalam keadaan gelap, saya melepaskan empat das tembakan rambang sebagai amaran tetapi mengena dua perompak yang berada di luar,” katanya.

"Bunyi tembakan mengejutkan dua lagi perompak di dalam bilik anak saya, lalu mereka melarikan diri dengan terjun melalui tingkap bilik," katanya.

Katanya, empat perompak itu dipercayai sudah lama berada di dalam rumah serta sempat minum air dan minuman keras di dapur.

“Sebelum saya lepaskan tembakan, dua perompak sedang menghunus pisau ke arah anak lelaki dan menantu saya yang diikat dengan wayar seterika manakala dua perompak menunggu di luar bilik,” katanya.

Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner I Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

"Suspek yang berjaya ditangkap berasal dari Jawa Timur, Indonesia, dan dipercayai ditinggalkan tiga rakan di sebuah kawasan hutan kira-kira 250 meter dari lebuh raya serta dia tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan.

“Kami masih memburu dua lagi perompak dipercayai bersembunyi di kawasan hutan berhampiran manakala seorang berjaya melarikan diri," katanya.

Rodwan berkata, 60 anggota terlibat dalam operasi berkenaan, selain mengharapkan kerjasama polis di kawasan sempadan Negeri Sembilan, Johor dan Pahang.

“Mana-mana klinik atau hospital yang menerima pesakit lelaki mencurigakan diminta menghubungi polis dengan segera," katanya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud