ARTIKEL SEBELUM

12/04/10

Mohsin tidak kota janji





IPOH – Hampir sebulan Ahli Parlimen Bagan Serai yang keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan mengisytiharkan bebas berjanji untuk berjumpa dengan pengundi bagi Parlimen berkenaan masih belum dikotakan sehingga kini.

Ahli Majlis Syura Pas Pusat, Ahmad Awang berkata, setakat ini, tiada sebarang perkhabaran yang diterima daripada Mohsin berdasarkan kepada janjinya untuk melihat dan berjumpa dengan rakyat di Parlimen Bagan Serai.

Menurutnya, beliau dan rakyat masih menunggu bilakah agaknya Mohsin Fadzil Samsuri akan ke sini (Bagan Serai), melaksanakan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.

“Kesan dari solat hajat yang dilaksanakan selama seminggu tempoh hari, Mohsin Fadzil tampil memberi kenyataan bahawasanya dia tidak akan masuk atau sertai Barisan Nasional (BN) sahaja.

“Selepas itu, tiada lagi khabar berita dari dia, sama ada bertanyakan khabar mengenai permasalahan rakyat di kawasannya, langsung tidak ada,”katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Ahmad berkata, seharusnya sebagai pemimpin yang diamanahkan oleh rakyat, dia perlu membuktikan serta mengotakan janjinya bukan hanya menabur janji-janji kosong sahaja.

Katanya, rakyat menunggu apakah penjelasan sebenar mengenai tindak-tanduk dia keluar parti daripada mulutnya sendiri bukan melalui media.

“Saya sendiri pun, tidak menerima sebarang panggilan atau berita mengenai dia setakat ini. Sebagai umat Islam, janji perlu dikotakan walau apa cara sekali pun,” katanya.

Sementara itu, Mohsin Fadzil ketika dihubungi menjelaskan beliau akan turun berjumpa rakyat dalam masa terdekat ini.

Katanya, beliau tidak mahu ulas panjang ketika ini dan akan tiba masanya menjelaskan kepada rakyat.


posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud