KUALA LUMPUR : Pengurusan kes permohonan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar dan enam yang lain untuk diadakan semakan perundangan bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi dewan itu ditetapkan pada 27 Mei ini.
Pada 22 Oktober tahun lepas, mereka diberi kebenaran membuat permohonan itu bagi membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan sebagai tidak kosong kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kawasan Behrang, Changkat Jering dan Jelapang setelah ketiga-tiga penyandangnya menjadi anggota Bebas.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan ketika menolak bantahan awal oleh Pejabat Peguam Negara berhubung permohonan itu berkata, Sivakumar dan yang lain terdiri Chen Fook Chye, Tai Sing Ng, A. Sivanesan, Ahmad Sabry Wahab, Abdul Latif Ariffin dan Foo Hon Wai mempunyai locus standi untuk mencabar keputusan SPR itu.
Dalam permohonan itu mereka menamakan SPR dan ketiga-tiga wakil rakyat berkenaan iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (DUN Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (DUN Changkat Jering) dan Datuk Hee Yit Foong (DUN Jelapang) sebagai responden.
Dalam permohonan itu, mereka mahu supaya SPR mengisytiharkan ketiga-tiga kerusi itu kosong selain meminta mahkamah mengeluarkan perintah agar ketiga-tiga penyandangnya dilarang daripada menjalankan tugas sebagai anggota dewan.
Pada Pilihan Raya Umum 2008, Jamaluddin dan Osman memenangi kerusi masing-masing sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PRK), manakala Yit Foong menang atas tiket DAP.
Kesemua mereka kemudian bertindak keluar parti masing-masing dan menjadi wakil rakyat Bebas.