Sejak diumumkan sebagai calon bagi pilihan raya itu, UMNO semakin galak mencerca keperibadian silam bekas menteri itu dengan melabelkan beliau sebagai kaki botol dan sebagainya.
Tanpa disedari pimpinan UMNO, serangan itu umpama meludah ke langit terkena muka sendiri. Ini kerana umum mengetahui ramai dalam kalangan pimpinan UMNO bukanlah dalam kalangan mereka yang bermoral tinggi, malah rata-rata mereka juga terdiri daripada ‘kaki minum’.
Zaid ikhlas dan tegas dalam menghadapi taktik kotor UMNO itu. Beliau mengakui ketelanjuran silamnya itu dan menyatakan beliau sudah bertaubat sejak menunaikan haji.
“Itu cerita lama. Kalau mereka nak ungkit, ungkitlah. Saya dah minta maaf dengan Allah s.w.t. Apapun kelemahan saya, apapun ketidaksempurnaan, saya adalah seorang manusia. Saya tidak hipokrit, apa yang silap, silaplah,” katanya kepada pemberita ketika diajukan soalan tersebut.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula percaya Zaid sudah banyak berubah dan tidak mengamalkan tabiat lamanya sejak pulang dari Mekah dan menyertai Pakatan Rakyat.
Sementara itu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, UMNO tidak wajar memainkan isu peribadi bagi memenangi pilihan raya itu memandangkan umum mengetahui kebanyakan pemimpin UMNO sendiri dibelit dengan pelbagai isu moral.
Bagi Pengarah Pilihan Raya Keadilan, Fuziah Salleh, UMNO menggunakan taktik jahat dengan menyerang peribadi lampau calon Pakatan Rakyat, Zaid Ibrahim sehingga seolah-olah meletakkan hukum Allah pada tangan mereka.
“Kita sebagai manusia harus tidak menghukum, kalau Allah pun boleh menerima taubat seseorang, kenapa Barisan Nasional menggunakan taktik kotor ini untuk membunuh karektor berasaskan masa lampau seseorang, dalam keadaan seseorang itu telah berubah?.
“Dia masuk dalam Pakatan Rakyat dia ‘reform’, kemudian dia pergi haji dia ‘reform’. Ini merupakan taktik sangat kotor BN. Mereka patut rasa malu, Perdana Menteri Najib harus malu menggunakan taktik kotor begini. Dia patut bercakap apa yang mahu dilakukan untuk rakyat bukan bercakap tentang peribadi lampau seseorang yang telah berubah,” tegas Fuziah.