ALOR SETAR, 21 April — Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata beliau tidak bimbang dengan tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Tan Wei Shu keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini.
Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco Negeri di sini hari ini, Azizan berkata beliau yakin Adun lain dalam PKR dan DAP yang masih bersama dengan PAS tetap setia.
“Dia nak keluar biarkanlah...saya tidak akan ganggu. Jika ada lagi yang hendak keluar atau melompat, saya akan mengadap Tuanku (Sultan Kedah) untuk memohon perkenan baginda membubarkan DUN bagi mengadakan pilihan raya,” katanya.
Pas menguasai 16 dari 36 kerusi DUN. PKR berbaki tiga kerusi selepas dua wakilnya keluar parti untuk menjadi ADUN Bebas, DAP satu kerusi manakala BN menguasai 14 kerusi.
Azizan turut mengumumkan anggota Exco yang juga ADUN Sidam, Tan Show Kang (PKR) dilantik sebagai ADUN angkat DUN Bakar Arang. — Bernama