Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semakin diserang perasaan tidak menentu menjelang pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor apabila beliau mengatakan keputusan PRK itu tidak boleh dijadikan sebagai kayu pengukur kepimpinan beliau.Beliau membuat kenyataan tersebut semasa ditemubual dalam Bernama TV malam tadi sempena setahun memegang jawatan Perdana Menteri keenam.
Najib berkata PRK Hulu Selangor hanyalah satu pilihan raya kecil dan petunjuk sebenarnya adalah Pilihan Raya Umum ke-13 nanti dan ianya tidak mengambarkan ukuran sokongan rakyat terhadap pentadbiran beliau.Mengulas kenyataan Najib itu, Pengarah pilihan raya KEADILAN, Fuziah Salleh berkata pendirian Perdana Menteri menunjukkan beliau sudah mula gusar dan tidak yakin dengan sokongan rakyat Hulu Selangor selepas mereka sendiri menilai kewibawaan Pakatan Rakyat memerintah Selangor sejak tempoh dua tahun.
"BN pada mulanya rasa yakin tetapi mula gusar dengan perkembangan sokongan akar umbi, samada suka atau tidak, rakyat Hulu Selangor terutamanya golongan atas pagar mula melihat keupayaan Pakatan Rakyat memerintah selama dua tahun ini."Berbanding dengan BN buat kerja 'last minute', janji 'last' minute', jadi rakyat sudah mula nampak dan boleh membuat penilaian mereka sendiri," ujar Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan.
Ditanya mengenai janji-janji manis yang di bawa ke Hulu Selangor oleh Najib dan timbalannya, beliau mengingatkan pengundi supaya jangan terpedaya dengan tipu helah Umno-BN kerana perkara ini berlaku bila setiap kali pilihan raya dan rakyat Hulu Selangor harus pastikan pihak yang mana benar dan konsisten."Mereka ini juga telah menyalahi undang-undang pilihan raya tapi macam biasa mereka terlepas dari tindakan
Suruhanjaya Pilihan Raya dan mereka juga harus sedar waktu berkempen, menteri tidak boleh berkempen, hanya jentera parti sahaja yang boleh berkempen. Itu mereka kena faham dan mereka tidak boleh buat tawaran atas jawatan menteri," tambah Fuziah lagi.Menyentuh isu calon KEADILAN untuk kerusi tersebut, Fuziah berkata calon yang akan dipilih berdasarkan pilihan akar umbi dan calon yang berpotensi boleh menang, tidak seperti BN yang memilih calon berdasar faktor kuota.
"Berdasarkan prestasi cemerlang pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor selama dua tahun, saya yakin rakyat akan memberi semula kerusi tersebut kepada kita," ulas beliau.Hari penamaan calon ialah pada 17 April dan pengundian ditetapkan pada 25 April.

