ARTIKEL SEBELUM

15/04/10

gara-gara suami gian berjudi


Nasibnya tidak ubah seperti perumpamaan ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ apabila bukan sahaja ditipu suami sendiri, tetapi terpaksa menanggung beban lelaki berkenaan yang berhutang dengan ah long.

Malah, gara-gara tabiat judi si suami sejak dua tahun lalu mengakibatkan seorang isteri terpaksa menanggung beban akibat perbuatan suaminya hingga terpaksa hidup dalam ketakutan diburu ah long.

Lebih malang, wanita dikenali sebagai Yap, 44, kini bukan sahaja menderita terutama apabila terpaksa berhadapan dengan sekumpulan ah long yang menuntut kembali wang dipinjam suaminya, sebaliknya turut ditinggalkan suaminya sejak 7 April lalu.

Yap berkata, suaminya sering meminjam dari ah long untuk melepaskan gian berjudi yang semakin teruk hingga menipunya dengan menyatakan pinjaman berkenaan untuk memajukan perniagaan.

“Suami menipu saya kononnya terpaksa meminjam bagi membantu perniagaan colok, menyebabkan saya tidak mensyaki apa-apa.

“Malah, ini merupakan kali keenam suami meminjam dari ah long dan saya terpaksa meminjam daripada ahli keluarga bagi menjelaskan hutangnya,” katanya selepas membuta aduan di Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, semalam.

Yap berkata, suaminya melarikan diri sejak 7 April lalu bagi mengelak daripada diburu ah long dan hingga kini gagal dikesan ahli keluarganya yang lain.

Katanya, sejak itu, ah long kerap datang ke rumah menuntut dan mengugut akan menggunakan kekerasan jika hutang suaminya tidak dijelaskan.

“Terbaru, saya membayar sebanyak RM20,000 pada 6 April lalu, namun mereka masih meminta menjelaskan baki yang saya sendiri tidak tahu jumlah keseluruhan pinjaman yang dibuat suami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, lebih daripada 70 peratus peminjam ah long terlibat dalam kegiatan perjudian.

“Kebiasaannya mereka tidak mampu menjelaskan hutang dan terus menghilangkan diri menyebabkan orang di sekeliling menanggung beban,” katanya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud