ARTIKEL SEBELUM

27/04/10

Calon Pakatan Rakyat Bagi PRK Sibu Diumum Hari Ini

SHAH ALAM 27 Apr - Pakatan Rakyat dijangka akan mengumumkan calonnya daripada DAP bagi pilihan raya kecil P.212 Bandar Sibu pada satu majlis makan malam hari ini.

Ketika dihubungi Suara Keadilan, Ketua Pemuda DAPSY, Anthony Loke mengesahkan perkara ini dan menyatakan beberapa pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat termasuk Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP. Lim Guan Eng dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang akan turut hadir pada majlis tersebut yang diadakan sebuah hotel di Sibu.

"Kita sudah ada beberapa nama yang dipertimbangkan dan kami akan umumkan pada hari ini," kata Loke tanpa menyebut nama calon yang bakal mewakili Pakatan Rakyat.

Walau bagaimanapun Suara Keadilan difahamkan calon yang sudah disahkan bertanding adalah salah seorang daripada enam Ahli Dewan Undangan Negeri DAP di Sarawak.

Di dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak kesembilan yang diadakan pada 20 Mei 2006, Barisan Nasional memenangi 62 daripada 71 kerusi dengan kerusi selebihnya dimenangi oleh calon Bebas, DAP, KEADILAN dan SNAP.

DAP memenangi enam kerusi di Pending (N.10), Batu Lintang (N.11), Kota Sentosa (N.12), Meradong (N.40), Bukit Assek (N.45) dan Kidurong (N.59).

KEADILAN menang kerusi tunggalnya oleh Dominique Ng Kim Ho N.9 Padungan manakala calon Bebas, Gabriel Adit Demong menang di kerusi N.43 Ngemah dan Johnichal Rayong Anak Ngipa di N.28 Engkilili.

Gabriel kemudiannya menyertai Parti Cinta Malaysia pada 10 Disember 2009.

Pada peringkat Parlimen pula BN memenangi 30 daripada 31 kerusi pada Pilihan Raya Umum 2008.

Kerusi tunggal pembangkang di menangi calon DAP, Chong Chieng Jen di Bandar Kuching yang juga ADUN Kota Sentosa.

Kerusi Bandar Sibu kosong berikutan kematian wakilnya, Datuk Robert Lau, 68, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April di Hospital Selayang akibat derita barah.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 8 Mei sebagai hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Bandar Sibu manakala hari pengundian pada 16 Mei.

Kawasan Parlimen P.212 mempunyai 54,695 pengundi berdaftar seperti mana yang tersenarai dalam Daftar Pemilik Induk (DPI) 2009 yang dikemas kini sehingga 9 April lalu.

Daripada jumlah itu, 52,158 adalah pemilih biasa, manakala 2,537 lagi pengundi pos.

Sibu adalah kawasan majoriti Cina dengan jumlahnya 36,389 atau 66.7 peratus; 5,740 atau 10.05 peratus (Melayu); 12,050 atau 22.1 peratus (Bumiputera Sarawak); 218 atau 0.4 peratus (Bumiputera Sabah); 54 atau 0.1 peratus (India); 23 atau 0.04 peratus (Orang Asli) dan 71 orang atau 0.13 peratus kaum lain.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud