ARTIKEL SEBELUM

22/04/10

BN Kalah Berhujah Tapi Tetap Mahu Gantung Anwar



KUALA LUMPUR 22 Apr - Semua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat keluar Dewan beramai-ramai bagi membantah usul untuk menghadapkan Ketua Pembangkang ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berhubung kenyataannya mengaitkan hubungan 1Malaysia dengan konsep One Israel.

Usul itu diluluskan selepas didebatkan lapan Ahli Parlimen daripada Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.

Keputusan mengheret Anwar diputuskan dalam sidang selepas waktu makan tengahari dan ketika Dewan dipengerusikan oleh Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee yang mengambilalih tugas Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di sebelah pagi.

Sepanjang perbahasan, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bangun membantah usul berkenaan kerana bertentangan dengan Peraturan mesyuarat 36(12) di mana Menteri tidak boleh meminta Jawatankuasa hak dan Kebebasan membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman terhadap Anwar.

Menteri Jabatan Perdana menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang bertanggungjawab mengemukakan usul itu enggan menarik balik usul berkenaan meskipun didesak Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali.

Tindakan itu menyebabkan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat membuat keputusan keluar Dewan semasa undi dikira.

Dalam sidang media yang diadakan di lobi parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tindakan tersebut dibuat kerana usul yang dikemukakan sebagai 'cacat'.

"Oleh kerana menteri enggan membuat apa-apa pindaan, tarik balik atau bentang semula kita (Pakatan) tak ada pilihan kerana kalau kita undi ini maknanya kita sahkan usul ini dan bermakna kita menyertai perbahasan yang menyebut secara khusus Permatang Pauh bersalah," katanya.

Sambil merujuk kepada kes Ahli Parlimen Bukit Gelugur Karpal Singh pada 2004, Anwar mendakwa Menteri dan juga pihak Parlimen bersikap berpilih dalam menentukan usul yang dibentangkan.

Menurut Anwar, dalam kes itu usul yang dikemukakan dalam Dewan memberikan hak kepada jawatankuasa khas parlimen membuat penentuan tetapi tidak menyarankan jawatankuasa itu menjatuhkan hukuman sepertimana dalam kes beliau.

"Jadi bukan jawatankuasa ini nak tentukan salah atau tidak, Ini yang dipertikaikan berulang-kali oleh ahli-ahli Yang Berhormat tadi," ujar beliau lagi.

Anwar juga memberi contoh dalam kes Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Batu Gajah.

"Kita perhatikan bagaimana kerajaan Umno memaksa satu usul yang bertentangan dengan peraturan mesyuarat iaitu usul yang dibawa Menteri ia mesti terikat dengan peraturan iaitu merujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk menentukan salah atau tidak. Dan keduanya dengan mencadangkan hukuman setimpal kepada Dewan sekiranya ia didapati bersalah kepada Dewan.

"Bagi kes Permatang Pauh, seperti lazim ia bersifat unik dan 'special'," tambah beliau.

Pada masa yang sama, Anwar mengecam akhbar milik Umno, Utusan Malaysia yang hari ini menyiarkan kenyataan ahli Umno, Ezam Mohd Noor yang menuduh beliau sebagai ejen Israel.

"Mereka mencuba untuk memesongkan. Saya tidak bayar Apco, saya tidak menggunakan kumpulan lobi Israel untuk melindungi Umno. Saya tidak ada isu dengan Yahudi. Khairy berkata tentang hubungan peribadi saya dengan kawan Yahudi. Ya, saya kawan mereka. Saya mengaku ya. Tetapi di sini kamu bekerja dengan Zionis dan berhubungan serta berkompromi dengan isu keselamatan.

"Kami tidak kata orang ini semasa ini bekerja dengan Shin Bet, tetapi kami memberi bukti individu yang mengetuai Shin Bet sebelum kini mengetuai Apco dan mempunyai hubungan samada langsung atau tidak langsung dengan negara," ujarnya.

Sementara itu Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Nazri gagal menjawab semua persolan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat berhubung usul mengheret Anwar ke jawatankuasa tersebut.

"Jelas Menteri (Nazri) gagal untuk menjawab kebanyakan persoalan dan sebab usul mahu dilakukan. Menteri sendiri tidak yakin tentang usul tersebut. Mereka kalah kepada hujah kami," ujar Kit Siang.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud