ARTIKEL SEBELUM

27/04/10

BN Halal Cara Demi Kemenangan, Pakatan Rakyat Dukung Maruah Perjuangan

HULU SELANGOR 26 APR: Pakatan Rakyat tidak akan menari dengan rentak sumbang Barisan Nasional yang menghalalkan cara untuk memenangi pilihan raya, sebaliknya terus berpegang teguh kepada prinsip perjuangan.

Sekalipun kekalahan calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim pahit untuk ditelan tapi demi perjuangan bermaruah, tiang keadilan dan kebenaran perlu ditegak, dipasak kukuh dalam sanubari setiap pejuang rakyat.

Demikian pesanan Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat, Fuziah Salleh kepada semua penyokong Pakatan Rakyat supaya tidak luntur semangat juang semata-mata gagal menerima hakikat kekalahan ini.

Persaingan sengit pertandingan dua penjuru antara Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat berlanjutan hingga ke saat akhir kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Sekalipun kemenangan berpihak kepada P Kamalanathan, namun Umno BN terpaksa menggunakan taktik kotor dengan menyerang Pakatan Rakyat dari segenap penjuru tanpa mempeduli sempadan kemanusiaan.

Malah Umno BN juga tidak menghormati pengundi melalui tindakannya merendah-rendahkan martabat rakyat apabila menabur wang dan janji yang belum tentu dipatuhi lantaran mabuk dengan kemenangan kecil ini.

"Memang ada rasa sedih dan kecewa kerana kita ini manusia. Mungkin sehari dua kita berasa sedih tapi kita akan bangkit dan lawan tetap lawan. Malah, perjuangan ini lebih bermaruah jauh lebih penting dari keputusan," katanya.

Apapun, Fuziah Salleh yakin kekalahan ini ada rahmatnya.

"Kalah menang adat perjuangan. Kadang-kadang, kalau selalu menang, kita lupa tingginya langit. Mungkin kita perlu lihat ke dalam diri supaya terus kekal tabah dalam perjuangan," katanya lagi.

Kekalahan ini sama sekali tidak akan melemah semangat pendukung Pakatan Rakyat walaupun kesuraman sedikit sebanyak dirasai tetapi beliau yakin rakyat akan bangkit dan mara dengan lebih bersemangat lagi.

"Perjuangan ini berpaksikan keadilan dan kebenaran. Kalau BN terdesak dan buat apa saja, adakah kita akan buat perkara sama? Tentu sekali tidak, tapi kita berterus pegang kepada prinsip keadilan, berpaksikan kebenaran," katanya.- SK

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud