Empat cawangan MIC Hulu Selangor dibubarkan membabitkan lebih 1,200 ahli sejurus selepas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Ketua Penerangan MIC, P Kamalanathan sebagai calon Barisan Nasional petang semalam.
Dalam satu majlis penerangan kerajaan negeri Selangor di Dewan Komuniti Bukit Sentosa, Ketua Cabang Parit Sulong Hasmi Hashim berkata empat cawangan terbabit ialah cawangan Batang Kali, Taman Wawasan, Ladang Ulu Tamu dan Ulian Baru.
"Kemungkinan 13 cawangan MIC lagi akan dibubarkan kerana tidak setuju dengan campur tangan Umno dalam pemilihan calon MIC bagi Hulu Selangor.
"Isyarat ini jelas menunjukkan rakyat di Hulu Selangor tidak lagi yakin terutamanya masyarakat India yang berada di peringkat akar umbi.
"Calon yang dikatakan kononnya calon jalan tengah bukan calon pilihan MIC tetapi Umno maka jelaslah di sini MIC tidak mempunyai suara tetapi Umno yang telah menetapkan calon untuk MIC," kata Hasmi.
Sebelum ini, satu laporan berita mengatakan bahawa semua cawangan MIC di Hulu Selangor akan ditutup jika jika tuntutan mereka agar Datuk G Palanivel dicalonkan ditolak.