Umno dan BN jangan cuba hendak melaga-lagakan kepimpinan PR dengan memperbesarkan isu Ketua Pembangkang di Parlimen.
"Suka saya tegaskan di sini bahawa kepimpinan Pakatan Rakyat yang didokong oleh PAS, PKR dan DAP telah bersepakat dan bersetuju sebulat suara bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tetap menjadi Ketua Pembangkang walaupun tidak menguasai kerusi sepenuhnya dalam Parlimen.
“Bukan Umno atau BN yang menentukan siapa yang akan menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen. Kami daripada Ahli Parlimen PR yang berhak menentukannya,” katanya.
Oleh kerana itu, katanya Umno dan BN jangan mengharapkan berlakunya perpecahan dalam PR semata-mata dengan isu sekecil itu.
Datuk Mustafa Ali mengingatkan pemimpin Umno dan BN supaya memperbetulkan masalah dalaman yang berlaku kepada komponen mereka seperti MCA dengan dua presidennya, PPP dengan masalah yang sama antara Kayveas dan Murugiah, Umno dengan masalah dalaman mereka, MIC yang sudah hilang keyakinan majoriti masyarakat keturunan India dan Gerakan yang sudah hilang keyakinan masyarakat kepada mereka.
"Isu keluar parti ini telah lama wujud sejak zaman Umno lagi. Begitu juga yang pernah berlaku semasa Datuk Asri Muda keluar dari PAS bersama 13 orang sahaja yang mengikut beliau tetapi PAS tetap bertahan sehingga sekarang.
“DAP juga pernah mengalami nasib yang sama suatu ketika dulu. Namun ia tetap bertahan sehingga sekarang. PKR yang sedang mengalami isu yang sama juga tetap akan kukuh apabila membersihkan apa yang mengeruhkan parti tersebut," kata Datuk Mustafa Ali lagi.