ARTIKEL SEBELUM

21/03/10

Sivakumar Speaker sah ?



Selepas 10 bulan menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, kedudukan Datuk R Ganesan, yang mewakili Barisan Nasional (BN), dikatakan tidak sah kerana beliau dipaksa mengambil alih jawatan itu daripada penyandang terdahulu.

Oleh yang demikian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V Sivakumar, yang mewakili Pakatan Rakyat (PR), adalah Speaker yang sah, mengikut undang-undang.

Ini adalah pandangan pakar undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Abdul Aziz Bari, yang menganggap penyingkiran Sivakumar daripada jawatan itu tidak mengikut resolusi dewan dan bercanggah dengan peraturan DUN.

"Jika Speaker hendak ditukar, salurannya adalah resolusi dewan, bukan secara paksa seperti yang berlaku.

"Berdasarkan rakaman video, beliau diheret dari kerusi dan diusung keluar dewan dan Speaker baru (Ganesan) dilantik. Mengikut perundangan perkara itu memang tidak sah dan boleh dibawa ke mahkamah," .

Ganesan membuat laporan polis semalam, meminta siasatan dijalankan terhadap Sivakumar kerana menyamar sebagai Speaker.

Tindakan itu berikutan penggunaan kepala surat rasmi Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak bagi menghantar notis persidangan DUN pada 30 Mac ini yang ditandatangani oleh beliau sendiri.

Sehari sebelum itu, Sivakumar mengeluarkan notis kepada 54 daripada 59 ADUN supaya hadir ke persidangan DUN.

Lima ADUN yang tidak diberi notis untuk hadir termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, kerana masih dalam tempoh penggantungan selama 18 bulan sejak 3 Mac tahun lalu oleh pentadbiran: kerajaan PR.

Bagaimanapun, enam anggota Exco Kerajaan Negeri BN yang digantung selama 12 bulan pada tarikh yang sama dibenarkan hadir kerana tempoh hukuman mereka sudah tamat.

Tiga ADUN Bebas, iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) tidak akan dipanggil menghadiri persidangan itu kerana mereka sudah meletak jawatan pada Februari tahun lalu.

Sivakumar mendakwa beliau Speakar yang sah selepas usul perlucutan jawatan dan pelantikan Ganesan sebagai Speaker baru pada 6 Mei tahun lalu ditolak ketika persidangan DUN pada 7 Mei, tahun yang sama.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud