Speaker buat laporan polis dakwa Adun Tronoh menyamar speaker
IPOH 19 Mac. — Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Datuk R.Ganesan hari ini membuat laporan polis meminta siasatan dijalankan terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh V. Sivakumar kerana menyamar sebagai Speaker.
Ganesan berkata tindakan Sivakumar menggunakan kepala surat rasmi Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak bagi menghantar notis persidangan DUN pada 30 Mac ini adalah satu bentuk jenayah penyamaran.
Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibupejabat Polis Daerah Ipoh tengah hari ini, beliau berkata Sivakumar telah dilucutkan jawatan sebagai Speaker pada 7 Mei 2009 melalui ketetapan DUN dan keputusan itu juga telah disahkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh sebagai satu prosiding Dewan.
"Mahkamah Tinggi Ipoh pada 8 September 2009 kemudiannya memutuskan bahawa pelucutan jawatan Sivakumar sebagai Yang DiPertua Dewan Negeri adalah sah dan mengesahkan pelantikan saya sebagai Tuan Yang DiPertua Dewan Negeri Perak baru,” katanya.
Beliau berkata tindakan Sivakumar menyamar sebagai Speakar itu juga berupa satu tindakan menghina mahkamah.
"Saya membuat laporan ini demi menjaga integriti Dewan Undangan Negeri yang mulia di mana satu tindakan perlu diambil terhadap Ahli Yang Berhormat yang telah bertindak di luar batasan undang-undang negara dengan bertindak sesuka hati menyamar sebagai Tuan Yang DiPertua dan menghina keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh,” katanya. — Bernama