ARTIKEL SEBELUM

9/03/10

Saya masih peguam Anwar lagi - Zul Kulim




Zulkifli Noordin, yang dipecat dari PKR Sabtu lalu manakala semalam terlibat dalam "perang mulut" dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau masih mewakili suami beliau Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes qazafnya.

Zulkifli berkata, setakat ini beliau masih merupakan peguam utama pasukan Anwar dalam kes itu, yang akan disebut semula di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur esok.

Katanya, beliau akan berada di mahkamah esok atas kapasitinya sebagai peguam yang telah dilantik secara rasmi oleh Anwar, yang juga Penasihat PKR dan Ketua Umum Pakatan Rakyat.

“Berdasarkan rekod, saya masih merupakan peguam Anwar... saya akan berada di mahkamah esok. Sama ada saya akan diminta tarik diri ataupun sebaliknya, saya perlu berada di mahkamah (esok).

“Jika saya diminta menarik diri, saya juga kena memaklumkan secara rasmi kepada mahkamah. Jadi, saya akan berada di mahkamah esok,” kata beliau sambil menambah, apa yang dilalui sekarang bukan sesuatu yang bersifat peribadi.

Difahamkan jika Zulkifli berada di mahkamah esok ini kali pertama beliau bertemu secara bersemuka dengan Anwar dan Wan Azizah dalam tempoh sebulan ini.

Justeru Zulkifli berkata beliau tidak melihat perkembangan semasa sebagai sesuatu yang sangat bersifat peribadi.

“Isu ini bukan sesuatu yang peribadi, saya masih mengekalkan hubungan saya dengan beliau, Wan Azizah dan keluarga Anwar,” katanya.

Zulkifli memberitahu beliau akan bertindak secara profesional sebagai seorang peguam dalam kes qazaf yang difailkan Anwar terhadap bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mahkamah Tinggi Syariah menetapkan esok untuk sebutan semula mendengar kes qazaf difailkan oleh Anwar.

Seorang lagi peguam pasukan Anwar dalam kes ini ialah Kamar Aniah Kamaruzaman.

Pada 7 Jan lepas, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah bagi perintah supaya pihak pendakwaan meneruskan pertuduhan qazaf terhadap Saiful.

Dalam tuntutan notis permohonan itu, Anwar menamakan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom sebagai responden.

Anwar memohon perintah mahkamah mengarahkan Shamsuddin menggunakan kuasanya yang sedia ada padanya untuk menjalankan prosiding pertuduhan qazaf terhadap Saiful dan menghalang Che Mat dan Jamil daripada menghalang Shamsuddin menjalankan pertuduhan itu. mi

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud