"Saya menggalakkan dia untuk keluar (PKR)? Saya mendoakan dia (Zulkifli) meninggalkan PKR," katanya disambut ketawa wartawan.
Ianya berikutan tindakan Zulkifli yang didakwa sering mengkritik parti secara terbuka sehingga menjejaskan Pakatan Rakyat.
"Semua benda dia tak setuju dengan kita, dia nak berhenti, munasabah,” ujarnya.
Menurutnya, sebarang rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan parti perlu disalurkan secara betul, dan bukannya menyerang secara terbuka.
"Saya juga ada kalanya tidak bersetuju dengan pimpinan, jadi kena salurkanlah secara betul, PKR pada saya sangat terbuka," katanya.
Menjawab soalan wartawan pada sidang media di kediamannya hari ini, Zaid juga berkata pendirian Zulkifli tidak mengiktiraf panel bukan Islam dalam jawatankuasa Lembaga Disiplin PKR hanya alasan semata-mata.
"Kalau kita masukkan semua Islam sebagai panel, dia pula akan kata, dua orang Islam itu tidak cukup Islam. Jadi apa kita perlu buat?
"Ini bukan soal fatwa hukum, ini soal disiplin parti, mana boleh lantik orang Islam sahaja," katanya.
Zulkifli yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu semalam bertindak keluar dari sesi mengadap jawatankuasa lembaga disiplin selepas tidak berpuas hati dengan keanggotaan panel bukan Islam dalam jawatankuasa itu.
Beliau mendakwa panel yang sepatutnya menentukan masa depannya perlu dianggotai oleh orang Islam sahaja kerana ia membabitkan penggunaan isu kalimah Allah dan agama Islam.
Panel berkenaan dianggotai oleh seorang Islam, dua Kristian dan seorang Hindu.- Hrkh