Kepimpinan PAS pusat akan menentukan sama ada aduan dibuat blogger ‘Tulang Besi’, yang seringkali mengkritik tindakan pemimpin PAS menyokong idea kerajaan perpaduan Umno-BN, mempunyai merit untuk disiasat jawatankuasa disiplin parti.
Aduan itu akan diteliti oleh dewan harian dan jawatankuasa pusat untuk ditentukan sama ada boleh disiasat jawatankuasa disiplin ataupun sebaliknya.
Jaminan itu diberikan oleh Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali, yang sebelum ini dikritik segelintir pihak dalam PAS lazimnya mengambil keputusan seorang diri dalam menentukan status merit sesuatu aduan dibuat, selepas mengadakan pertemuan dengan blogger ‘Tulang Besi’ di ibu negara petang semalam. Difahamkan Mustafa juga akan menemui Exco Pemuda PAS Abdullah Abdul Karim yang sebelum ini mendakwa aduannya terhadap beberapa pemimpin juga telah diketepikan oleh setiausaha agung begitu sahaja.
Beliau mempertikaikan keputusan jawatankuasa disiplin parti itu menggantung Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad enam bulan sedangkan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali hanya diberi amaran juga mendakwa aduannya pernah ditolak Mustafa.
Tindakan itu mencetuskan rasa tidak senang di kalangan segelintir pemimpin dan ahli PAS.
“Datuk Mustafa memberi jaminan bahawa kes ini akan dibuka dan diserahkan pada dewan harian untuk menentukan sama ada boleh disiasat ataupun tidak. Abdul Rahman mengadakan pertemuan dengan Mustafa berhubung aduan rasmi dibuatnya bulan lalu membabitkan tiga pemimpin kanannya. -mi