ARTIKEL SEBELUM

11/02/10

Zulkifli digesa guna saluran parti untuk bersuara




SEKINCHAN, 11 Feb — Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin, diminta menggunakan saluran parti seperti mesyuarat Pakatan Rakyat (PR) untuk meluangkan pandangannya dan bukan mengkritik secara terbuka melalui media massa.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata PR mengamalkan konsep ketelusan dan keterbukaan dan segala perselisihan atau kontroversi di kalangan ahli Parlimen PR boleh diselesaikan melalui mesyuarat dalaman.

“Zul Nordin memang banyak cakap...kalau nak cakap ada perselisihan, cakap masa mesyuarat PR bukannya mesyuarat di suratkhabar,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat milikan tanah pajakan kepada 183 penduduk Kampung Bagan Sekinchan di sini hari ini.

Abdul Khalid, yang juga Menteri Besar Selangor, berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Zulkifli dalam program Soal Jawab yang disiarkan secara langsung oleh TV3 Isnin lalu.

Dalam program itu, Zulkifli berkata DAP tidak diperlukan kerana parti itu adalah punca utama kepada semua masalah dalaman yang dihadapi dalam pakatan pembangkang.

Bagaimanapun, Abdul Khalid enggan mengulas lanjut mengenai tindakan yang bakal dikenakan oleh Jawatankuasa Disiplin parti kerana kelantangan Ahli Parlimen dari PKR itu. — Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud