PULAU PINANG, Feb 16 — Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengakui beliau salah memilih beberapa calon bagi mewakili parti itu untuk bertanding pada pilihan raya umum yang lepas.
“Calon bagi kerusi Parlimen saya yang pilih. Ketika itu PKR masih baru. Jadi kita terpaksa angkat (mereka),” kata beliau dipetik Bernama ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran PKR, di sini hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata PKR akan lebih berhati-hati bagi memastikan calon yang dipilih untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang tidak goyang, tetapi kuat dan bersih.
Setakat ini lima wakil rakyat termasuk seorang Ahli Parlimen PKR telah mengumumkan bertindak keluar PKR dan memainkan peranan sebagai wakil Bebas.
Minggu lepas, bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mengisytiharkan keluar dari PKR dan menjadi Ahli Parlimen bebas.
Beberapa orang wakil rakyat dikatakan akan mengambil langkah yang sama dalam waktu terdekat.
Beliau kecewa dengan kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng serta kesal dengan perjuangan PKR dalam pakatan pembangkang.malaysia Insider