ARTIKEL SEBELUM

1/02/10

Ketaatan membuta tuli dalam Pas - Khalid Samad




Budaya wala' dalam PAS terlalu tinggi sehingga menghampiri ketaatan membuta tuli, demikian menurut Ahli Parlimen Shah Alam Abdul Khalid Samad ketika mengulas hukuman penggantungan selama enam bulan ke atasnya baru-baru ini.

"Budaya wala' terlalu menebal. Menghampiri ketaatan membuta tuli. Akhirnya saya tiada pilihan kecuali berhadapan perbalahan secara terbuka.

"Memang mengikut budaya Malaysia, apabila melawan 'tauke' kuli yang akan kena. Ikut macam mana pun pasti akan kena. Tetapi kali ini 'tauke' pun kena juga. Walaupun hanya sedikit tetapi pada saya sudah mencukupi," katanya menerusi lamannya www.khalidsamad.com baru-baru ini.

PAS, tambah Abdul Khalid, sememangnya mementingkan disiplin ahli, ketaatan kepada pemimpin, thiqah dan wala' dan beliau sedar mengenai hal itu dengan pelbagai kaedah yang pernah dicubanya sebelum ini.

"(Ia) bukan semakin baik, semakin parah. Akhirnya saya tiada pilihan kecuali melakukan apa yang pasti sukar diterima parti.

"Walaupun berasas tetapi akan dilihat melanggar disiplin. Ketua pemanah meninggalkan Bukit Uhud. Yang membantah dan menghalang dianggap melanggar disiplin jemaah kerana membantah dengan cara yang kasar," kata beliau.

Mengenai persoalan, sama ada beliau akan mengemukakan rayuan, beliau berkata setakat ini beliau belum lagi terfikir berbuat demikian, malah keinginan tersebut mungkin tidak ada.

"Saya masih belum lagi memutuskannya. Mungkin tidak. Seperti Saidatina Aisyah dalam kisah fitnah terhadapnya. Memadai dengan saya meyakini bahawa saya bertindak demi PAS dan Pakatan Rakyat.

"Lagipun, seperti yang saya nyatakan, jawatan tidak penting. Hendak merayu buat apa? Pilihan raya ke-13 semakin hampir. Bersama kita terus asak Umno sehingga mereka tersungkur. Itu keutamaan kita yang perlu dilakukan tanpa ada kenyataan-kenyataan yang akhirnya akan menyulitkan kita sendiri," kata Abdul Khalid lagi.

Menyentuh sama ada beliau akan terus menyanggah secara biasa jika hal yang sama berulang, beliau berkata, hal itu akan diteruskan, tetapi ia akan dizahirkan dalam keadaan lain pula.

"Jika mereka terus dengan cara lamanya, saya tidak akan menyanggah lagi. Saya sendiri yang akan melaporkan kepada Jawatankuasa Disiplin, iaitu seperti yang dibuatnya ke atas saya dalam kes ini.

"Itulah caranya dan kita lihat pula sejauh mana kesungguhan amaran yang diberi," kata beliau.EP

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud