KAJANG, Feb 8 - Pengguna lebuh raya di negara ini akan diberi pengecualian bayaran tol dan diskaun kadar tol di 17 lebuh raya sempena sambutan Tahun Baru Cina ini.
Sebagai penghargaan kepada penggunanya, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (Fasa 1) akan mengecualikan bayaran tol pada 11 Feb dan 15 Feb mulai pukul 11.30 malam hingga 4.30 pagi.
Selain itu, pemberian diskaun tol antara lima peratus hingga 20 peratus pula ditawarkan di beberapa lebuh raya.
Mentri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor ketika mengumumkannya hari ini berkata insentif berkenaan adalah pertama kali sempena Tahun Baru Cina.
“Dalam erti kata lain, inilah angpau daripada syarikat konsesi untuk semua pengguna lebuh raya sempena Tahun Baru Cina ini,” katanya ketika berucap melancarkan Kempen Keselamatan Lebuh Raya peringkat Kementerian Kerja Raya di Semenyih, hari ini.
Secara keseluruhan terdapat 26 syarikat konsesi tol yang beroperasi pada masa kini.