ARTIKEL SEBELUM

5/02/10

Batal kes liwat II: Rayuan Anwar didengar 12 Feb



PUTRAJAYA, Peguam-peguam yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff di sini hari ini.

Pertemuan itu bertujuan memohon tarikh awal perbicaraan bagi mendengar rayuan Anwar untuk menangguhkan perbicaraan kesnya yang sedang berlangsung dan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan liwat terhadapnya.

Alauddin memaklumkan secara lisan kepada pihak-pihak yang berkenaan bahawa rayuan Anwar terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan liwat akan didengar pada 12 Feb.

Ketika dihubungi media di sini, peguam Anwar, S.N. Nair berkata beliau telah menerima pengesahan tarikh itu melalui satu faks dari Pendaftar Mahkamah Rayuan pukul 5 petang ini.

Usul Anwar untuk mendapatkan perintah penangguhan bagi perbicaraan kes liwatnya akan turut didengar pada hari yang sama..

Ketika ditemui pemberita, peguam Datuk Param Cumaraswamy berkata Alauddin turut memaklumkan kepada mereka bahawa tarikh perbicaraan bagi permohonan Anwar untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengetepikan permohonan untuk mendapatkan dokumen penting yang mempunyai kaitan dengan perbicaraan kes liwatnya akan ditetapkan paling awal menjelang minggu depan.

Alauddin turut memaklumkan bahawa mereka sedang mencari seorang lagi hakim untuk menganggotai tiga panel hakim Mahkamah Persekutuan bagi mendengar permohonan semakan semula itu.

Pertemuan itu turut dihadiri seorang lagi peguam yang mewakili Anwar iaitu Wan Anuar Shaddat dan Timbalan Pendakwa Raya Wong Chiang Kiat.

mi

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud