Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) meragui mesej ancaman ugutan bunuh yang bekas pembantu peribadinya Mohd. Saiful Bukhari Azlan mendakwa ditujukan kepadanya, kelmarin.
Anwar meragui kerana mesej ancaman itu dimuatkan dan pada masa yang sama dikeluarkan dalam waktu yang begitu singkat.
“Komen-komen pada laman peminat biasanya akan kekal untuk tempoh beberapa hari tetapi dalam kes ini, ia dinaik muat dan kemudian ia hilang,” kata Anwar kepada wartawan di pekarangan kompleks mahkamah di sini hari ini.
“Tetapi dalam tempoh yang singkat, ia diemelkan kepada Saiful, jadi ia sesuatu meragukan,” kata penasihat Parti Keadilan Rakyat ini.
Saiful merupakan pengadu dan saksi utama kes liwat kedua yang dihadapi Anwar sekarang.
Semalam dia membuat laporan polis mendakwa menerima ancaman bunuh menerusi rangkaian sosial Facebook.
Menurut Saiful, seorang yang bernama ‘Anaz Zahari’ telah mengugut dia dengan memuatkan satu kenyataan pada ruangan Facebook peminat Anwar.
Mesej itu menyebut, “ANAZ ZAHARI: Kepada rakan2 isekalian…sape2 yg mengenali ataupun berjumpa dgn saiful bukhari azlan dimana2 saja,anda diwajibkan membunuh beliau dgn apa cara sekalipun demi keamanan manusia sejagat…”
Ia disiarkan dalam Fanpage Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Saiful berkata dia menerima maklumat itu menerusi satu emel daripada sumber yang identitinya tidak mahu diketahui.
Dia membuat aduan di balai polis Sentul semalam.
“Saya menerima satu emel daripada individu tidak dikenali malam tadi (kelmarin) memaklumkan mesej itu yang dimuatkan pada Facebook peminat Datuk Seri Anwar,” katanya selepas membuat laporan polis.
Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat bagaimanapun enggan menuding apabila ditanya sama ada mesej itu bertujuan memerangkap beliau.
“Saya tidak tahu. Biar mereka menyiasat dulu,” katanya.
Terdahulu Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah berkata beliau akan membuat keputusan berhubung permohonan Anwar agar beliau menarik diri dari mendengar kes liwatnya Khamis depan.