ARTIKEL SEBELUM

24/01/10

Pemuda PKR desak tindakan disiplin terhadap MP Zulkifli


Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa pucuk kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil tindakan disiplin terhadap wakil rakyatnya Zulkifli Noordin yang membuat aduan di Akta Hasutan terhadap Ahli Parliman Khalid Samad.

Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata Zulkifli Noordin tidak sewajarnya membuat aduan polis meminta rakan sejawatannya dari PAS itu disiasat di bawah Akta Hasutan.

“Tindakan Zulkifli Noordin bertentangan dengan prinsip dan semangat Pakatan Rakyat,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Zulkifli, yang pernah disiasat Jawatankuasa Disiplin PKR dua tahun lalu berhubung isu lain, semalam membuat aduan polis ekoran saranan Khalid agar enakmen agama Islam Selangor disemak atas alasan ia sudah ketinggalan zaman.

Sambil menyifatkan tindakan Zulkifli semalam sebagai ala Umno, Shamsul Iskandar berkata pihaknya mahu pucuk kepimpinan mengambil tindakan tegas ke atas anggota Dewan Rakyat itu.

“Kami sangat kesal dengan tindakan beliau yang bertentangan dengan rangka kerja bersama Pakatan,” kata beliau selepas mesyuarat AMK di sini.

“Kami juga mencabar beliau tampil dan menjelaskan kepada AMK berhubung tindakannya... kami mencabar beliau agar berdebat dengan kami atas prinsip agama Islam dan ilmu.

“Surat formal akan dihantar kepada beliau dalam waktu terdekat,” kata beliau dan menambah pihaknya berpandangan isu berkenaan sudah selesai selepas Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan lebih 100 ahli politik, sarjana dan pemimpin NGO Islam baru-baru ini.

“Nampaknya tidak dan ia berterusan dengan tindakan Zulkifli,” katanya lagi.

Semalam, Zulkifli berkata, laporan polis itu dibuat berhubung kenyatan Khalid yang menyebut enakmen larang kalimah “Allah” ketinggalan zaman.

“Saya dah buat kenyataan dua hari lalu meminta supaya Khalid segera meminta maaf kepada Sultan Selangor dan umat Islam dan menarik balik kenyataan itu tetapi beliau tidak berbuat sedemikian malahan tidak menunjukkan sebarang penyesalan setelah dipanggil menghadap Sultan,” katanya.

Pada 21 Jan lepas, Khalid berkata enakmen agama Islam yang melarang penggunaan nama Allah dan perkataan-perkataan lain berkaitan Islam sudah ketinggalan zaman dengan alasan pada masa undang-undang itu diluluskan mungkin tahap kefahaman umat Islam terhadap agama Islam begitu lemah sehingga perlu dilindungi.

Kenyatan Khalid itu merujuk kepada Enakmen Ugama Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988.

“Saya percaya kenyataan Khalid adalah berunsur hasutan dan menghina Tuanku Sultan Selangor dan Dewan Undangan Negeri dan umat Islam secara umumnya,” kata Zulkifli.

Laporan polis itu dibuat bagi membolehkan Khalid disiasat sama ada mengikut Akta Hasutan, Seksyen 298A Kanun Keseksaan atau enakmen atau undang-undang berkaitan Islam bagi negeri Selangor.

Menurut Zulkifli, Khalid juga seharusnya tidak lagi berada dalam PAS dan menubuhkan partinya sendiri memandangkan tindakan beliau sejak kebelakangan ini, dilihat sering bertentangan dengan pendirian PAS dan dasar Pakatan Rakyat.

Kedua-dua Khalid dan Zulkifli sudah ‘permusuhan’ dalam isu ini sejak awal bulan ini.

Ditanya sama ada beliau sendiri bersedia sekiranya PKR bertindak terhadapnya kerana tindakannya, Zulkifli berkata: “Saya tak akan halang PKR dari mengambil tindakan kalau mereka perlu ambil tindakan.”

Shamsul Iskandar menjelaskan PKR dan sayap pemudanya sentiasa konsisten bahawa Islam adalah agama rasmi di bawah Perlembagaan Persekutuan tetapi tindakan Zulkifli bertentangan dengan pendirian bersama PR dalam isu kalimah “Allah”.

PR, yang turut dianggotai PAS sebagai komponen yang lazimnya berpendirian konservatif dalam soal-soal berkaitan agama, berpendapat bahawa bukan Islam boleh menggunakan kalimah “Allah” selagi ia tidak disalahgunakan, ekoran keputusan mahkamah yang membenarkan akhbar mingguan Herald menggunakan perkataan itu dalam edisi Bahasa Malaysia.

“Apa yang beliau lakukan bertentangan dengan prinsip musyawarah,” kecam Shamsul Iskandar.

Bagaimanapun ketua AMK itu tidak menjelaskan apabila ditanya bentuk tindakan tegas termasuk kemungkinan Zulkifli dipecat dari parti, yang patut diambil ke atas beliau.

“Saya pasti parti akan melihat perkara itu,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsul Iskandar berkata, AMK akan mengedarkan 100,000 salinan risalah bertajuk “Kes Qazaf Saiful” di masjid-masjid utama di seluruh pada Jumaat ini.

Ia menyentuh bahawa kes liwat melibatkan Anwar, yang didakwa oleh bekas pembantu peribadinya Saiful Bukhari Azlan, wajar dibicarakan di bawah sudut qazaf di Mahkamah Syariah. malaysiainsider




posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud