ARTIKEL SEBELUM

21/01/10

KISAH PASIR DUA NEGERI


PASIR KE SINGAPURA

KUALA LUMPUR 20 Jan. – Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor (gambar) berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa jumlah lori pasir dari Johor yang memasuki Singapura setiap hari adalah sebanyak 500 buah.

Beliau berkata, perkara itu diberitahu kepadanya dalam satu taklimat yang dihadiri semasa melawat Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Kastam Tanjung Puteri, Johor pada November tahun lalu.

“Saya menerima maklumat itu ketika diberi taklimat semasa melawat kawasan itu tahun lalu dan saya hanya menyatakan apa yang diberitahu itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Shaziman bagaimanapun tidak mengulas lanjut sama ada pasir yang dijual ke Singapura itu adalah pasir biasa atau silika kerana perkara tersebut bukan di bawah bidang kuasa pihaknya.

Kebenaran atau permit mengambil pasir dikeluarkan oleh Pejabat Tanah di negeri berkenaan manakala urusan pergerakan lori yang mengangkut pasir ke Singapura dipantau oleh Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di dalam blognya mendakwa mendapat maklumat jumlah sebenar lori pasir dari Johor yang memasuki Singapura adalah 700 buah sehari dan bukan 500 seperti dinyatakan Shaziman.

Dr. Mahathir dalam blognya, http://chedet.co.cc turut mempersoalkan sama ada pasir dari Johor yang dihantar ke Singapura setiap hari itu merupakan pasir biasa atau pasir silika yang digunakan untuk membuat mikrocip.


Pasir: 34 ditangkap



PUTRAJAYA 20 Jan. – Seorang pegawai khas dan setiausaha sulit ahli politik antara 34 orang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan nilai suapan RM280,000 dalam kes penyeludupan pasir di beberapa negeri.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Mohd. Shukri Abdull berkata, suapan tersebut turut melibatkan tiga kes rasuah seks bertujuan memudahkan proses permohonan dan kelulusan mendapatkan pasir.

Menurut beliau, setiap individu yang terlibat didakwa menerima nilai suapan di antara RM500 sehingga RM50,000.

“Daripada jumlah tangkapan, 24 daripadanya melibatkan kakitangan kerajaan termasuk lima pegawai kanan.

“Tangkapan yang dibuat semalam dan hari ini juga melibatkan lima orang awam dan tiga pekerja swasta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Salah seorang yang ditahan hari ini ialah Hussein Ahmad yang bertugas sebagai setiausaha sulit kepada Exco kerajaan Selangor, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan kelulusan kontrak perlombongan pasir dan lawatan ke China baru-baru ini.

Menurut Mohd. Shukri, tangkapan tersebut hasil kerjasama orang ramai yang menyalurkan sejumlah 410 maklumat.

Dalam pada itu, kata beliau, salah seorang yang ditahan dalam kes penyeludupan pasir tersebut telah didakwa di sebuah mahkamah di Perak hari ini.

Jika disabitkan kesalahan, individu berkenaan boleh didenda sebanyak RM30,000 dan penjara tidak melebihi lima bulan.

Mengulas lanjut mengenai tangkapan 34 orang tersebut, Mohd. Shukri memberitahu, ketika tangkapan di Selangor hari ini, pegawai SPRM menghadapi halangan untuk melakukan tugas mereka.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud