Jika lebih setahun lalu, cubaan pakatan pembangkang melalui usaha pemimpin mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk ‘menggulingkan’ kerajaan dibuat secara pujukan kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) lompat parti gagal, usaha dan hasrat tersebut sebenarnya tidak pernah padam.
Cumanya kali ini ia dibuat melalui cara yang lebih demokratik iaitu dengan berusaha menggagalkan bajet yang telah dibentangkan oleh kerajaan. Mengikut amalan berparlimen, jika sesuatu bajet yang dibentangkan oleh kerajaan tidak diluluskan, ia bererti kerajaan yang sedia ada perlu meletakkan jawatan. Itulah aturan mainnya.
Perkara tersebut hampir menjadi kenyataan Isnin malam apabila perbahasan peringkat jawatankuasa untuk bajet setiap kementerian selesai dibahaskan. Terakhir bajet yang diperuntukkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Sepanjang hari Selasa – walaupun suasananya tenang-tenang saja di Parlimen – kekalutan yang terjadi sepanjang lebih tiga jam itu membuatkan ramai kalangan Ahli Parlimen Barisan Nasional termenung tepuk dahi memikirkan betapa mereka bernasib baik bajet itu akhirnya lulus dengan 66 undi menyokong dan 63 menolak – yakni beza cuma 3 undi sahaja.
Bayangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang menghadiri satu majlis di Sekolah Chung Hwa di Jalan Ipoh,Kuala Lumpur terpaksa bergegas meninggalkannya untuk berkejar ke Parlimen setelah mendapat panggilan ‘ kecemasan’ tentang jumlah Ahli Parlimen pembangkang melebihi Ahli Parlimen BN dalam Dewan Rakyat.
Ribuan hadirin di majlis itu tercengang tanpa mengetahui apa puncanya.Ini lebih-lebih lagi melihat beberapa pemimpin MCA yang juga Ahli Parlimen turut menyertai beliau meninggalkan majlis tergesa-gesa.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berkejar ke Parlimen.
Bekas Menteri Kerjaraya yang juga Ahli Parlimen Sepang Datuk Mohd Zin Mohamed yang baru turun dari pesawat di KLIA sekembali dari luar negara tidak sempat pulang ke rumah.
Kebetulan sebaik saja menghidupkan telefon bimbitnya di lapangan terbang itu dan membaca SMS yang masuk meminta segera ke Parlimen,beliau tanpa memikir panjang terus mengarahkan pemandunya memecut ke bangunan Parlimen.
Di sekitar parlimen Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz yang jaga urusan parlimen terpaksa ‘ pusing keliling’ menyelaraskan usaha memastikan jumlah Ahli Parlimen BN cukup.
Dalam pada itu Penyelaras Ahli Parlimen BN,Datuk Zainal Abidin Rahim berusaha sedaya upaya beliau untuk menyelamat keadaan dengan menelefon dan SMS semua Ahli Parlimen BN yang tidak ada di parlimen supaya segera datang.
Turut sama membantu mengawasi keadaan ialah Ahli Parlimen Johor Bharu Datuk Shahrir Samad dan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Latif Ahmad.
Keadaan memang cukup mendebarkan waktu itu setelah mereka menyedari macam ada sesuatu ‘ tak kena’ melihatkan pergerakan ‘ lain macam’ Ahli Parlimen pembangkang yang makin ramai muncul.
Kebiasaannya pada waktu malam begini jumlah Ahli Parlimen baik BN dan pembangkang tidaklah begitu ramai di parlimen.
Kebelakangan ini kerana banyak perbahasan dan pengulongan belanjawan kementerian-kementerian sidang Dewan Rakyat yang bermula jam 10 pagi berlarutan hingga jam 10.30 malam.
Dalam keadaan biasa sidang tamat jam 5.30 petang.
Ikut ceritanya Ahli Parlimen PKR Wangsa Maju, Wee Choo Keong yang ketika itu sedang relaks berada di sebuah pusat membeli belah di Wangsa Maju telah ‘ dikerah’ segera ke Parlimen oleh seorang rakan sejawatnya untuk tujuan itu.
Drama ini bermula semasa pengulongan perbahasan di peringkat jawatankuasa belanjawan Kementerian Dalam Negeri oleh Timbalan Menterinya Datuk Wira Abu Seman sekitar jam 8 malam.
Seorang Ahli Parlimen BN memberitahu Agendadaily perasaan curiga mereka mula memuncak bila melihat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim,Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang dan orang kuat DAP Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Barat) turun ke lobi parlimen (dari pejabat Anwar di Menara Parlimen).
Kecuali Kit Siang…Anwar dan Hadi jarang kelihatan di Parlimen waktu malam.
Ketika itu jumlah Ahli Parlimen BN kurang dari Ahli Parlimen pembangkang.
Awalnya kehadiran mereka yang makin ramai tidak disedari.Sebahagian ada dalam dewan manakala lain-lainnya sekitar bangunan Parlimen.
Ada juga yang datang semula ke Parlimen dari keluar sebelum itu.
Malah ketika itu juga seorang Ahli Parlimen pembangkang sedang relaks menonton siaran langsung pertandingan bola sepak Malaysia-Laos dengan beberapa orang Ahli Parlimen BN di sebuah bilik tidak jauh dari Dewan Rakyat.
Ia dikatakan satu gerakan terancang untuk ‘ perangkap’ Ahli Parlimen BN agar tidak menyedari jumlah Ahli Parlimen pembangkang sebenarnya.
Rupanya secara diam-diam mereka dikatakan mengira jumlah Ahli Parlimen BN yang ada.
Apa yang diduga nyata betul bila Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng telah bangun dan meminta agar undi belah bahagian dibuat. Undi belah bahagian bermaksud setiap ahli yang ada di dalam Dewan Rakyat akan dikira undinya dan bukan sekadar laungan suara bersetuju atau tidak.
Bayangkan jika tewas dalam undi belanjawab KDN ini bererti peruntukkan kewangan untuk kementerian itu tidak dapat digunapakai sehingga belanjawan itu dibentang semula dan diluluskan.
Ini bererti jika ambil masa dua tiga bulan – makanya wang untuk gaji kakitangan dibawah KDN dan agensi-agensi dibawahnya tidak dapat disalurkan.Begitu juga dengan wang untuk projek-projek,program dan segalanya.
Debar tak debar…bayangkan beberapa minit menjelang pengundian belanjawan KDN jumlah Ahli Parlimen BN dan pembangkang sama 63-63.
Penyelamat BN dalam situasi yang amat mencemaskan itu kebetulan jatuh kepada Timbalan Menteri Pertanian Datuk Johari Baharom Ahli Parlimen Kubang Pasu.
Kemunculannya adalah antara yang paling klasik sekali dan betul-betul disaat akhir.
Sebenarnya ketika ‘panggilan kecemasan ‘ pertama dikeluarkan pada semua Ahli Parlimen BN,beliau sedang berada dalam kereta dekat Kuala Klawang,Negeri Sembilan dalam perjalanan menuju ke Muadzam Shah di Pahang.
Demi tugas semata-mata untuk meninjau segera masalah seorang pengusaha syarikat tenusu yang hendak membuang dua lori tangki susunya - beliau terpaksa redah ke situ pada sebelah malam.
”Saya mulanya jadi serba salah ketika menerima panggilan kecemasan suruh datang segera ke Parlimen dari Datuk Zainal .Saya memang nak pergi tengok sendiri masalah pengusaha tenusu itu.Namun saya sedar kalau tidak segera berpatah balik ke Parlimen…masalah amat besar akan menimpa kerajaan,”katanya.
Menurut Johari beliau terus meminta pemandunya memecut selaju mungkin balik ke Kuala Lumpur.
Katanya hati menjadi tambah berdebar kerana ketika sampai ke sekitar Shah Alam beliau mendapat khabar terbaru cuma ada masa 10 minit sebelum pengundian dijalankan.
Namun beliau bersyukur sejurus tiba di bangunan Parlimen dan bergegas masuk ke dalam Dewan Rakyat pengundian betul-betul hampir bermula.
Ketika itu jam menunjukkan sekitar jam 10.45 malam dan jumlah Ahli Parlimen BN dan pembangkang 63-63.
Kemasukan beliau di saat akhir itu menjadikan BN 64 orang cuma lebih seorang saja.klpos