MENTERI Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, melahirkan rasa kesalnya terhadap sikap segelintir penyokong Kelantan yang tidak menunjukkan semangat kesukanan apabila membakar kerusi dan melempar mercun ketika perlawanan akhir Piala Malaysia, malam kelmarin.
Katanya, penyokong Kelantan seharusnya menerima kekalahan secara terbuka kerana kalah dan menang adalah adat dalam permainan.
“Pemain Kelantan sudah bermain bersungguh-sungguh, bila kalah juga apa boleh buat. Masa kita menang tak timbul pula sebarang masalah, takkanlah kita nak menang selama-lamanya, matahari pun ada naik dan jatuh.
“Itu bukan semangat kesukanan, sebab itu saya ada sebut bola ini jangan kita sebut main, (sebaliknya) sebut riadah. Tak betul cara itu (membakar kerusi dan mercun), pemain sudah habis ikhtiar, kalah juga apa boleh buat,” katanya, semalam.
Dalam perlawanan akhir itu, penyokong Kelantan mula bertindak liar dengan membakar kerusi serta melempar mercun dan botol minuman ke kawasan trek dan padang selepas pasukan itu ketinggalan 0-3 kepada Negeri Sembilan.