KUALA LUMPUR: Kabinet bersetuju merombak semula kurikulum Biro Tata Negara (BTN) supaya lebih inklusif dan tidak membelah bahagikan rakyat negara ini mengikut kaum sejajar dengan konsep 1Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet beberapa minggu lalu dalam usaha memastikan kursus BTN tidak tertumpu kepada satu kaum sahaja.
"BTN adalah jabatan yang baik tapi kita kena tukar kurikulumnya kerana sekarang (konsep) 1Malaysia.
"Pada saya, kurikulum yang ada tidak selaras dengan apa yang Perdana Menteri mahukan dan jika kita bercakap berhubung integrasi kaum, tidak boleh hanya satu kaum yang menghadiri kursus itu, sebaliknya kaum lain juga dijemput," katanya di lobi Parlimen, hari ini.
Nazri berkata, beliau percaya Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan sudah mengarahkan BTN untuk membuat rombakan itu.
Minggu lalu, kerajaan Selangor mengharamkan kakitangannya dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) milik penuh kerajaan negeri mengikuti kursus atau program dikendalikan BTN berkuatkuasa serta-merta.
Arahan itu dikeluarkan kerana BTN didakwa sekadar 'sesi membasuh otak' yang sengaja diada-adakan Barisan Nasional (BN) tanpa memberi kebaikan kepada peserta dan mendakwa menjadi tempat memupuk semangat perkauman di kalangan peserta yang boleh memecah-belahkan rakyat.BHarian