ARTIKEL SEBELUM

13/02/15

'Kami tak minta layanan VIP untuk papa'

 


Perkara yang paling penting bagi keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah kesejahteraan beliau di penjara dan bukannya diberi layanan seperti VIP.

Anak perempuannya, Nurul Nuha, berkata keluarganya bimbang Anwar ditahan di dalam sel kecil penjara dan tidur di tilam busa kecil di atas lantai walaupun dengan keadaan kesihatannya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang berkata Anwar tidak akan diberi layanan VIP di penjara Sungai Buloh di mana dia sedang menjalani hukuman lima tahun penjara.

Nurul Nuha, yang menerajui gerakan "March 2 Kebebasan" untuk membebaskan Anwar dan diuar-uarkan mungkin bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, menjelaskan bahawa keluarganya tidak pernah meminta layanan istimewa untuk bapanya.

"Sakit belakangnya semakin teruk," kata ibu berusia 31 tahun dan mempunyai dua orang anak, kepada Malaysiakini dalam satu temubual eksklusif.

"Kami tidak minta layanan VIP. Sudah tentu, dia tidak sepatutnya berada di sana (dalam penjara), kerana dia ditahan secara tidak adil.

"Tetapi beliau menghidap sakit belakang yang teruk. Dan beliau berusia 67 tahun, orang cenderung lupa perkara itu.

"...tetapi usianya semakin meningkat. Apa yang kami mahu ialah tempat yang lebih selesa agar tidak memburukkan lagi sakit belakangnya," kata Nurul Nuha yang digenangi air mata.

Nurul Nuha menjelaskan bahawa keluarganya hanya mahu Anwar dilayan dengan cara yang tidak akan memburukkan lagi penyakitnya.

"Fokus utama kami adalah kesihatan dan kesejahteraan dirinya," katanya.

Nurul Nuha juga menafikan bahawa Anwar menerima layanan VIP semasa menjalani hukuman penjara sebelum ini pada 1999-2004.



"Mereka berbohong kepada kami sebelum ini. Ketika itu (ketika Anwar pertama kali ditangkap pada tahun 1998), ketua polis negara ketika itu, Tan Sri Rahim Noor kata Anwar selamat.

"Tetapi apabila kami pergi ke sana, dia dipukul separuh mati. Perkara seperti itulah yang membuat anda paranoid," katanya merujuk kepada kes mata lebam bapanya itu.

Nurul Naha berusia 13 ketika bapanya merengkuk dalam penjara ketika itu.

Dia teringat bagaimana sebagai seorang remaja, dia berasa begitu malang kerana tidak dapat berbuat apa-apa mengenainya.

Tapi kini, Nurul Nuha berikrar untuk menuntut keadilan untuk bapanya melalui gerakan baru itu.- Mkini

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud