ARTIKEL SEBELUM

30/08/13

BN kekal menang di 2 parlimen, 2 DUN di Johor - Mahkamah

Mahkamah Pilihan Raya di Johor Bahru hari ini menolak petisyen untuk membatalkan keputusan pilihan raya umum ke-13 bagi dua kerusi parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor, sekaligus mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi keempat-empat kawasan pilihan raya itu.

Hakim Datuk Hasnah Mohammed Hashim menolak petisyen yang difailkan PKR bagi kerusi Parlimen Ledang dan Pasir Gudang serta kerusi DUN Nusajaya dan Gambir yang difailkan oleh PAS.

Beliau menolak kesemua petisyen itu dengan kos atas alasan kesemua pempetisyen gagal mematuhi beberapa peraturan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 termasuk pempetisyen tidak mempunyai fakta atau butiran yang mencukupi bagi menyokong petisyen yang dikemukakan.

Mahkamah mengarahkan setiap pempetisyen supaya membayar kos sebanyak RM30,000 kepada Anggota Parlimen Ledang Datuk Hamim Samuri dan Anggota Parlimen Pasir Gudang Normala Abd Samad serta kepada responden kedua dan ketiga iaitu Pegawai Pengurus Pilihan Raya kedua-dua Parlimen itu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagi DUN Nusajaya dan Gambir, mahkamah turut memerintahkan pempetisyen supaya membayar kos sebanyak RM25,000 kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Dr Zaini Abu Bakar dan ADUN Gambir, M Asojan serta pegawai pengurus pilihan raya kedua-dua DUN itu dan SPR.

Pihak responden diwakili peguam Syed Faizal Syed Abdullah dan Mohd Reza Abu Hassan manakala pempetisyen diwakili peguam Muhammad Yazid Mohamad Salim dan Rohana Ramli.

Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy pula mewakili responden kedua dan ketiga.

- Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud